Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama polis dan bomba hari ini berjaya mematahkan percubaan penduduk di sekitar Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, dari mengerjakan solat Jumaat di bekas surau Jubli Perak.

Kira-kira 40 orang anggota penguatkuasa Jais, yang diketuai oleh Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Mohd Shahzihan Ahmad, telah berkumpul di tapak surau berkenaan sejak 11 pagi bagi menghalang usaha-usaha untuk menunaikan solat Jumaat.

Tindakan mereka itu menimbul kemarahan di kalangan kariah surau tersebut kerana anggota-anggota penguatkuasa berkenaan turut memakai kasut ketika memasuki ruang solat. ( gambar )

"Kami baru sahaja membersihkan lantai tersebut sebelum mereka sampai kerana menjaga kebersihan dan kesucian itu merupakan tuntutan agama Islam, apatah lagi di tempat ibadat," kata pengerusi surau Jubli Perak, Samion Musiron kepada malaysiakini .

"Walaupun anggota-anggota Jais mendakwa mereka datang atas alasan 'menjalankan tugas', mereka sepatutnya tetap menunjukkan rasa hormat ke atas tempat ibadat dengan membuka kasut ketika memasukinya," katanya lagi.

"Anggota-angggota Jais tentunya lebih arif mengenai perkara ini kerana mereka adalah pihak berkuasa agama Islam negeri yang kesemuanya beragama Islam," tambahnya lagi.

Perintah Jais diengkari

Bagaimanapun, kehadiran anggota-anggota Jais yang turut mempamerkan gari di pinggang mereka itu gagal menghalang daripada orang ramai dari berkumpul untuk mengerjakan solat Jumaat seperti biasa.

Tepat jam satu tengahari, seorang anggota Jais membuat pengumuman dari dalam kenderaan jabatan untuk memberitahu orang ramai bahawa surau Jubli Perak tidak lagi dibenarkan untuk bersolat Jumaat.

Pengumuman yang dibuat berulang kali itu turut mengarahkan ahli-ahli jemaah supaya pergi ke surau Al Kausar atau An Nur, bagi mengerjakan ibadah mingguan itu.

Surau Al Kausar terletak kira-kira satu kilometer dari situ, manakala surau An Nur teletak hampir tiga kilometer jauhnya.

Orang ramai juga diberi amaran bahawa sesiapa yang terus berada disekitar surau tersebut pada selepas 1.15 tengahari "akan diambil tindakan".

Bagaimanapun, hadirin akur dengan perintah tersebut setelah anggota-anggota Jais mengugut untuk bertindak pada jam 1.25 tengahari.

Tinjauan malaysiakini di surau Al Kausar mendapati bahawa kehadiran jemaah adalah dianggarkan sekitar 500 orang, berbanding lebih 1,500 orang di Surau Jubli Perak ketika dibenarkan sebelum ini.

Adalah difahamkan status kebenaran untuk bersembahyang Jumaat di surau Al Kausar tidak mendapat restu dari ahli jawatankuasa surau itu sendiri kerana mereka tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut disebabkan bekerja di luar Bandar Baru Bangi.

Pelajar kecewa

Malaysiakini

juga difahamkan solat Jumaat yang pertama kali diadakan di surau tersebut hari ini dikendalikan oleh pegawai-pegawai Jais sendiri.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz, dan timbalan pengarah Jais, Mohd Amin Abdul Rashid, turut hadir untuk menunaikan solat Jumaat di situ.

Sementara itu, beberapa orang pelajar sekolah menyatakan kekecewaan mereka kerana gagal untuk bersolat kerana tidak mempunyai sebarang kenderaan untuk ke surau serta kesuntukan masa untuk ke sesi sekolah petang.

Mohd Nazri Abu Bakar, 13, adiknya Mohd Nazrin, 11, berkata bahawa mereka tidak ada pilihan melainkan meninggalkan solat Jumaat kerana takut terlepas van sekolah yang tiba seawal 2.10 petang.

"Kalau kami ke surau juga (dengan berjalan kaki), sudah pasti kami akan ketinggalan van ke sekolah," kata Mohd Nazri yang tinggal di flat Jubli Perak.

Kata-kata beliau turut disokong oleh rakan-rakan sebaya yang lain yang kini menghadapi kesukaran untuk mengerjaka ibadah solat Jumaat ekoran halangan dari pihak berkuasa agama Islam Selangor sendiri.

Jumaat lalu, seorang lelaki ditahan kerana dikatakan mempersoalkan tindakan Jais yang tidak membenarkan solat di situ. Terdahulu, seorang peguam dan imam juga ditahan kerana mempertikaikan tindakan Jais itu, yang dikatakan berpunca dari desakan pemimpin Umno tempatan.