Hisham: Presiden, perwakilan perlu senada
Naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau mengharapkan perbahasan para perwakilan petang ini akan memberi gambaran yang senada dengan ucapan dasar presiden partinya.
Katanya, perkembangan seperti itu akan menggambarkan kesungguhan parti itu untuk berubah dan memastikan kelangsungannya selepas ini.
"Datuk Seri Najib hari ini telah memilih ucapan dasar Umno bukan saja menjelaskan apa yang digagaskan beliau tetapi juga mengingatkan ahli Umno bahawa sekiranya kita tidak berubah, kalau kita tidak menghayati lanskap hari ini, kalau kita tidak bersungguh-sungguh meniti perubahan itu, (saya) bimbang kelangsungan perjuangan kita dan survival parti itu sendiri (terjejas).
"Saya lihat ucapan hari ini cukup bermakna dan bersejarah dan saya harap dihayati oleh pembahas dan dapat kita terjemahkan kepada strategi yang betul-betul boleh mendekati rakyat untuk memastikan kelangsungan umno.
"Kalau kita teliti usul-usul yang akan diperbahaskan, Alhamdulillah, perkara yang akan dibangkitkan bukan saja senada tapi yang penting di mana kita mengisahkah bahawa kedudukan Melayu dan pembelaannya dan perjuangan Umno kepada orang Melayu bukan saja disahkan tapi juga dianjakkan mengikut lanskap politik sosio dan ekonomi negara," katanya.
Hishammuddin yakin, Umno mampu berbuat demikian berdasarkan sejarah dan nilai-nilai yang telah diperjuangkan oleh Umno sebelum ini.
"Kita akan mengorak langkah ke hadapan bagi memperkukuhkan perjuangan yang kita warisi, tapi pada masa sama kita berlaku adil kepada kaum-kaum lain. di mana termaktub dalam perlembagaan dalam fasal tiga perlembagaan parti pun, dari segi sejarah kita cukup konsisten," katanya.
Khairy: Jangan takut bayang-bayang
Sementara itu, ketua pegerakan pemudan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata anggota Umno perlu menerima hakikat bahawa hak dan kepentingan parti itu tidak akan terhakis dengan mudah.
Beliau juga menekankan bahawa ucapan Najib telah menjelaskan bahawa usaha untuk meminda undang-undang berkaitan kepentingan Melayu perlu mendapat restu daripada majlis raja-raja.
"Janganlah kita takut dengan bayang-bayang," katanya yang berharap agar saranan tersebut tidak disalah anggap oleh anggota parti itu kerana parti itu akan tetap mempertahankan kepentingan Melayu.
Seorang lagi naib presidennya Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, ucapan oleh Najib seperti itu sememangnya telah ditunggu-tunggu oleh warga Umno.
Beliau juga percaya cabaran tersebut akan memperkukuhkan parti lagi parti itu yang telah melalui cabaran-cabaran yang lebih getir, seperti yang diperkatakan Najib dalam ucapannya terdahulu.
"Presiden menyeru supaya kita menyusun langkah mengatur strategi untuk terus berada di barisan hadapan untuk menetukan bahawa kita kepemimpinan Umno, seluruh kepimpinan akar umbi akan terus mengekalkan Putrajaya.
"Inilah harapan kita bahawa kegagalan dan kekurangan undi kita, masalah yang kita hadapi pada pilihanraya lalu bukan satu pukulan tapi pengajaran yang harus kita ambil," katanya ketika bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini.

