Pemuda mahu 30% ekuiti Melayu dicapai Najib
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau berharap sasaran 30 peratus ekuiti yang disasarkan melalui Dasar Ekonomi Baru akan dapat dicapai dalam tempoh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, dasar yang dilhamkan oleh Tun Abdul Razak perlu dicapai memandangkan ekuiti yang dimiliki orang Melayu kini masih berada dalam lingkungan 21 peratus.
"Kalau bercakap mengenai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tidak bermakna jika Melayu masih tidak maju," katanya lagi dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno hari ini.
Dalam pada itu, Khairy ( kiri ) turut menyokong penjenamaan semula parti itu bagi membolehkannya kembali berpengaruh di kalangan warga muda.
Beliau memberi alasan, usaha yang dilakukan pergerakan itu setakat ini telahpun menerima sokongan daripada presidennya Datuk Seri Najib Razak melalui insentif yang diumumkan dalam Bajet 2010 untuk program-program yang diusahakannya.
"Tindakan ini baik bukan kerana kita dapat pikat hati anak muda tapi lebih dari itu, sebab dividen politik itu dapat kepada Umno dan BN.
"Melalui BN Youthlab (Makmal Pemuda BN) kita letakkan jenama Umno supaya dividen itu kembali kepada Umno dan BN dan bukan lembu punya susu sapi dapat nama.
"Dengan penjenamaan ini Umno akan lebih dekat dengan hati rakyat," katanya lagi dan menambah, insentif berkenaan termasuk skim rumah pertama, usaha mewujudkan gaji minimum dan juga skim latihan kepada anak muda dengan geran sebanyak RM500 juta.

