PKFZ: OC Phang mohon tangguh bicara CBT
Bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, OC Phang, telah memohon kepada Mahkamah Sesyen supaya perbicaraan pecah amanahnya berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) ditangguhkan.
Peguamnya, Francis Ng Aik Guan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Phang memohon kesnya ditangguhkan sementara menunggu kes membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dibicarakan terlebih dahulu.
Katanya, terdapat banyak pertindihan yang memerlukan penghakiman dalam kes Ling, seperti contoh latar belakang skop projek berkenaan.
Timbalan pendakwa raya, Dzulkifli Ahmad berkata beliau memerlukan tempoh dua hari bagi memberi jawapan bertulis.
Hakim, Asmadi Hussain kemudian menetapkan 15 November ini untuk mendengar permohonan itu.
Ng juga berkata beliau telah memohon kepada pihak pendakwaan Khamis lalu bagi mendapatkan lebih banyak dokumen, termasuk minit mesyuarat jemaah menteri dan surat-menyurat kementerian berhubung projek tersebut.
Phang, 63, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.
Dia menghadapi dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang didakwa dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

