Kejayaan Pemuda Umno menganjurkan kempen Aman Malaysia baru-baru ini tidak harus menjadi alasan bagi ketua pegerakan itu untuk tidak turun berdebat, terutamanya berkaitan isu yang ada kena mengena dengan masa depan bangsa Melayu, kata ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar.

Mahfuz memberitahu malaysiakini , rakan sejawatnya dari Umno, Datuk Hishammuddin Hussein akan lebih dihormati sekiranya beliau mampu mempamerkan imej yang lebih berani dengan menjawab segala persoalan yang bakal ditimbulkan semasa perdebatan.

"Sekiranya beliau mempamerkan imej berani dan tidak hanya berlindung di sebalik retorik keamanan, saya pasti umum akan lebih menghormati kepimpinan beliau," kata Mahfuz.

Sehubungan itu, Mahfuz mengulangi sanjungannya terhadap keterbukaan ahli Parlimen Chenderoh, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz yang turun ke gelanggang untuk berdebat mengenai isu Sekolah Agama Rakyat dengan timbalan ketua Pemuda PAS, Sallahuddin Ayob, bulan lepas.

"Apa jelas sekarang, Hishammuddin sebenarnya tidak berani berdebat dengan saya seorang, walaupun beliau begitu berbangga dengan sokongan 200,000 orang dibelakangnya ketika kempen Aman Malaysia di Bukit Jalil baru-baru ini," kata ahli Parlimen Pokok Sena tersebut.

Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas dakwaan lidah pengarang laman web Pemuda Umno yang mengatakan beliau "tidak dapat menahan perasaan dengki" terhadap kejayaan Hishammuddin yang mendapat pujian ekoran kejayaan penganjuran kempen Aman Malaysia.

Lidah pengarang itu turut mendakwa Mahfuz yang kini "terdesak" dengan kejayaan Hishammuddin, terpaksa mencari jalan untuk memulihkan imejnya dengan berdebat.

Tiada iri hati

"Sebenarnya saya lansung tidak menyimpan sebarang iri hati dengan perhimpunan Aman Malaysia tersebut sebab ianya tidak lebih dari satu retorik dan bukannya mengandungi apa-apa pelan tindakan (untuk menghalang kekejaman perang ke atas Iraq dan Palestin)," kata Mahfuz.

"Malahan, kebanyakan anak-anak muda yang hadir pada perhimpunan tersebut sebenarnya lebih didorong oleh konsert mega yang disertai artis-artis terkenal bagi menjadikan perhimpunan keamanan tersebut seolah-olah satu pesta," katanya lagi.

Mahfuz menegaskan bahawa beliau akan tetap menghantar jemputan rasmi untuk berdebat kepada ketua Pemuda Umno itu dalam masa terdekat ini walaupun beliau (Hishammuddin) secara terbuka telah menolak cadangan tersebut dalam satu sidang akhbar minggu lalu.

Selain menganggap perdebatan hanya sebagai retorik kosong dan tidak berfaedah, Hishammuddin turut mencabar lawannya supaya mengumpulkan dari 250,000 orang dan 2.5 juta tandatangan bagi membantah perang seperti yang dilakukan oleh Pemuda Umno.

Mahfuz turut menambah bahawa Pemuda Umno sepatutnya berbuat lebih dari sekadar mengumpulkan tandatangan dan berpesta jika serius dalam membantah perang.

"Saya ingin mencadangkan kepada Hishammuddin agar berkempen di kalangan negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya masing-masing menghantar "perisai manusia" ke Iraq dengan diketuai oleh beliau sendiri bagi menghalang serangan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya," kata Mahfuz.

Buat masa ini, kebanyakan mereka yang pergi ke Iraq untuk menjadi perisai manusia merupakan mereka yang bukan beragama Islam dari negara-negara barat.

Debat antara Hishammuddin dan Mahfuz bagi membincangkan isu-isu ketuanan Melayu pernah dicadangkan dua tahun lalu, tetapi tidak menjadi kenyataan kerana pemimpin Pemuda Umno itu diarahkan supaya tidak melakukanya oleh pemimpin kanan parti.