PAS memberi jaminan kepada Majlis Raja-Raja Melayu bahawa parti itu tidak pernah mempengaruhi sekolah agama rakyat (SAR) untuk kepentingan politiknya.

Ketika memberi jaminan itu, Dewan Pemuda PAS pusat menegaskan, SAR tidak dipengaruhi mana-mana parti politik pembangkang, termasuk PAS, tetapi perjuangan parti Islam itu dalam menentang kezaliman, memenuhi hasrat dan citarasa keislaman mereka.

Oleh itu, tuduhan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa SAR menyemai perasaan anti-kerajaan adalah tidak berasas dan tidak benar, kata ketua dewan Pemuda PAS pusat, Mahfuz Omar.

Sehubungan itu Mahfuz merayu kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya menyelamatkan sistem pendidikan SAR dan menitahkan kerajaan BN agar menarik balik keputusan menghentikan bantuan perkapita kepada sekolah berkenaan.

Beliau juga merayu supaya majlis itu menitah kerajaan BN supaya menambahkan bayaran geran perkapita dan lain-lain bantuan kepada SAR.

Rayuan dan harapan itu terkandung dalam memorandum yang dikemukakan parti itu kepada Majlis Raja-Raja pagi semalam.

SAR dipolitikan

Memorandum bertajuk 'Selamatkan Sekolah Agama Rakyat' (SAR) itu diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Dalam memorandum sembilan muka itu, Mahfuz ( foto ) juga berkata, tuduhan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan BN bahawa PAS menggunakan wang SAR untuk tujuan politiknya adalah juga tidak benar.

"Bagaimana SAR boleh menyalurkan wangnya untuk PAS, sedangkan mereka sendiri tidak mampu untuk berdiri tanpa sokongan rakyat dan kerajaan," katanya.

Sebaliknya beliau percaya jika Umno boleh mempolitikkan SAR, sepertimana yang parti itu lakukan terhadap sekolah kebangsaan, bantuan wang perkapita mungkin tidak akan ditarik balik.

Tuduhan yang mengatakan SAR sebagai sarang pembiakan pengganas adalah amat keterlaluan kerana tidak ada bukti yang menunjukkan para pengganas di negara ini dilahirkan oleh SAR, katanya.

"Bahkan kumpulan-kumpulan pengganas seperti Geng Mamak, Geng M16, Geng Botak Inasi, Geng 21 dan sebagainya bukan lepasan SAR. Individu seperti Mat Komando, Botak Chin dan Betong Kali juga bukan dilahirkan oleh SAR," tambahnya .

Universiti Al-Azhar

SAR, katanya dikenali sebagai pusat melahirkan alim ulama semenjak ratusan tahun yang lalu dan sebahagian besar mufti yang ada di Malaysia adalah lulusan SAR.

"Pemimpin kerajaan seperti (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi, (Datuk) Hamid Zainal Abidin, Hamid Othman, Zainal Abidin Kadir dan (Datuk) Zainuddin Maidin adalah juga lulusan SAR dan SAN (sekolah agama negeri) yang dahulunya mendapat bantuan kerajaan tetapi kini dihentikan. Apakah mereka ini telah mengalami penyelewengan ilmu ketika belajar?" soalnya.

Berhubung tuduhan bahawa SAR tidak melahirkan ilmuan dan cerdik pandai dalam masyarakat, Mahfuz menjelaskan hampir keseluruhan mereka yang belajar di universiti Islam di Malaysia, Mesir, India, Arab Saudi, Pakistan, Indonesia dan Barat adalah lepasan SAR.

Beliau juga hairan bagaimana pemimpin BN boleh sangsi terhadap kualiti pelajar SAR sedangkan universiti terkemuka di dunia, Al-Azhar, menerima dan mengiktiraf pelajar SAR.

"Graduan SAR juga mempunyai peluang yang lebih luas berbanding lepasan sekolah kebangsaan kerana mereka mempunyai pengetahuan akademik dan agama, selain mengetahui bahasa Melayu, Arab dan Inggeris," katanya lagi.

Beliau juga kesal dengan kecaman bahawa SAR meyumbang kepada masalah sosial sedangkan 300,000 kes salahlaku yang dikesan membabitkan pelajar sekolah kebangsaan.

Malah, katanya, penasihat agama Perdana Menteri sendiri mengaku 24,000 pelajar sekolah kebangsaan tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

Institusi agama

Pelajar SAR, katanya, telah berperanan membangunkan institusi agama yang secara langsung menyumbang kepada usaha mempertahankan aqidah umat Islam, meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, membangunkan negara dan mengukuhkan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama.

Menurut Mahfuz, tugas ini tidak boleh diambilalih oleh sekolah kebangsaan dan ini jelas terbukti dengan kemerosotan pencapaian pelajar sekolah kebangsaan dalam subjek pendidikan Islan dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bahkan, katanya, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sendiri mendakwa ada pelajar sekolah kebangsaan yang cetek pengetahuan tentang fardu ain, termasuk tidak tahu cara mandi wajib.

Oleh itu, tegas Mahfuz, Majlis Raja-Raja perlu bertindak kerana sistem pendidikan itu menghadapi masa depan yang semakin meruncing di mana terdapat sekolah yang mampu bertahan beberapa bulan sahaja lagi kerana menghadapi kewangan setelah bantuan perkapita diberhentikan.

Jika tidak isu SAR ini tidak diselesaikan, beliau yakin ada kemungkinan sekolah-sekolah agama rakyat terpaksa ditutup.

"Jika itu berlaku, umat Islam sekali lagi akan mengalami pusingan kedua, selepas buta tulisan jawi dan tidak dapat menguasai agama Islam dengan baik sehingga memungkinkan tidak ada lagi ulama yang akan dilahirkan pada masa 20 tahun akan datang," katanya lagi.