Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hakka Mui' lwn 'Hakka Taiko' di Batu Sapi
Diterbitkan:  Oct 31, 2010 5:35 PM
Dikemaskini: Nov 1, 2010 2:43 AM

Persaingan untuk memikat hati 9,737 pengundi Cina, yang merupakan 38.06 peratus daripada keseluruhan 25,582 pengundi pada pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini, amat sengit hari ini apabila ketiga-tiga calon turun padang untuk menemui orang ramai.

Dalam persaingan yang disebut oleh banyak pihak sebagai 'Battle of Super Sunday' itu, setiap calon cuba memanfaatkan cuti hujung minggu ini untuk menemui sebanyak mungkin pengundi, terutama di kawasan majoriti kaum Cina.

Kebanyakan penduduk Cina di kawasan ini terdiri daripada mereka yang bertutur dalam dialek Hakka, Kantonis dan Hokkien.

Kumpulan yang menggunakan dialek Hokkien kebanyakannya tinggal di kawasan Karamunting, Kantonis di Bandar Ramai-ramai, Kampung Pukat, Bandar Leila dan Bandar Nam Tung, manakala Hakka pula di Taman Mawar.

Pilihan raya kecil ini akan menyaksikan pertandingan antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah.

Oleh kerana Yong dan Tsen adalah daripada suku Hakka, maka tidak hairanlah banyak pihak menyifatkan pilihan raya kecil ini sebagai medan pertempuran antara 'Hakka Mui' dan 'Hakka Taiko'.

Bagi orang Cina, 'Mui' bererti kakak, manakala 'Taiko' bermaksud abang sulung.

Dalam perebutan untuk memanfaatkan hari kelepasan ini, calon-calon berkenaan dan jurukempen mereka kerap bertembung ketika berkempen kerana masing-masing mempunyai jadual ketat dan memberi tumpuan di kawasan serupa.

Ketika BN berkempen di kawasan Cina dan Bumiputera pagi tadi, Yong dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terserempak di Taman Mawar, kawasan yang mempunyai banyak anggota suku kaum Hakka.

Kemudian, Tsen, yang ditemani Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, pula mengunjungi kawasan itu.

Ketika kegiatan berkempen memasuki fasa akhirnya, timbul pula desas-desus kononnya SAPP dan PKR mencapai persefahaman untuk memberi tumpuan di kawasan berasingan -- SAPP akan memberi fokus di kawasan Cina, manakala PKR dan parti pembangkang lain akan memberi tumpuan di kawasan majoriti Bumiputera.

Pemerhati politik percaya PKR memberi tumpuan di kawasan Bumiputera dengan tujuan memecah undi dan sebagai sebahagian daripada persiapannya untuk bertanding bagi kerusi Sekong pada pilihan raya negeri akan datang dan membiarkan SAPP memberi tumpuan ke kawasan majoriti Cina, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting.

Sekong dan Karamunting terletak dalam kawasan Parlimen Batu Sapi.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh kedua-dua pihak dan SAPP berkata sejak beberapa hari lepas, pihaknya telah berkempen di kawasan Bumiputera, termasuk di pulau-pulau berhampiran.

PKR pula telah membawa rakannya dalam pakatan pembangkang, termasuk pemimpin di peringkat kebangsaan seperti orang kuat DAP Lim Kit Siang dan Anggota Parlimen Sibu Richard Wong Ho Leng untuk berkempen bagi calonnya di kawasan majoriti pengundi Cina.

Langkah ini mungkin menyebabkan pengundi Cina berpecah kepada tiga kumpulan dan persoalannya ialah berapakah jumlah undi yang akan diraih oleh BN dan SAPP?

Pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, mendiang Chong memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 9,479 undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Bebas Dr Chung Kwong Wing, yang mendapat 5,771 undi.

Walaupun BN meletakkan sasaran untuk memperoleh sekurang-kurangnya 25 peratus undi kaum Cina memandangkan terdapat begitu ramai penyokong tegar pembangkang di kawasan itu, tetapi calonnya berpeluang untuk menang dengan selesa melalui peningkatan undi pengundi Bumiputera, manakala PKR pula diramalkan mendapat undi yang agak banyak daripada kaum Cina.

--Bernama

ADS