Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat MIC akan mengadakan rumah terbuka bersempena perayaan Hari Deepavali di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang Jumaat ini.

Menurut kenyataan ibu pejabat MIC hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota jemaah menteri yang lain dijangka hadir pada majlis tersebut.

Orang ramai dijemput hadir ke majlis itu bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.

Sementara itu, sempena mesej Deepavali, Samy Vellu mahu konsep “kesamaan, kebersatuan, bersatu hati” yang menyatukan semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum pada 1957, menjadi penggerak utama 1Malaysia.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu menghidupkan konsep tiga pihak yang telah merintis jalan kepada negara untuk mencapai kemerdekaan daripada British pada 1957.  

“Ia adalah kesamaan, kebersatuan dan bersatu hati yang menghasilkan ramuan yang diperlukan untuk hubungan yang harmoni kira-kira 53 tahun lalu yang menyatukan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai budaya, agama dan etnik," katanya.

Sambil mengucapkan Selamat menyambut Deepavali kepada semua rakyat Malaysia,  Samy Vellu berkata rakyat Malaysia mesti mengambil perhatian serius berhubung isu-isu sensitif antara pelbagai kaum bagi mengekalkan keharmonian.

“Kita mesti menghargai, menilai dan menghormati pandangan dan pendapat pelbagai kaum di negara ini. Kita mesti berhati-hati mengenai sensiviti pelbagai tradisi, kebudayaan, adat, kepercayaan, agama dan cara hidup.

“Hanya dengan itu, kita dapat menjayakan konsep 1Malaysia. Dengan itu, kita dapat memanggil diri kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata corak kesederhanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan langkah untuk membawa Malaysia bergerak ke depan bagi mencapai status negara perindustrian pada 2020.

“Kita mesti mengambil pendirian sederhana apabila berdepan dengan isu sensitif dan berkemampuan untuk menyelesaikannya melalui perundingan daripada melalui konfrontasi,” katanya.

Samy Vellu berkata kaum India juga mesti mengamalkan sikap sederhana bagi memastikan bahawa hak-hak mereka dipelihara.

“Kita tidak boleh berpecah kerana ia hanya akan menyukarkan kita untuk menuntut bahagian kita dalam kekayaan negara. Kita mesti bercakap dengan kesamaan, kebersatuan dan bersatu hati juga,” katanya.    

- Bernama