Elektrik putus, sidang Dewan Rakyat terganggu
Bekalan elektrik di Parlimen terganggu sebanyak dua kali hari ini, sehingga menyebabkan sidang Dewan Rakyat berhentikan.
Gangguan pertama berlaku sekitar jam 11.50 pagi ketika Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Noh Omar sedang menggulung Rang Undang-undang Bekalan 2011.
Ia memaksa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang dewan. Beliau kemudiannya mengumumkan sidang akan diteruskan pada jam 2.30 petang.
Bekalan elektrik pulih sejurus kemudiannya, tetapi putus lagi, tetapi hanya sekejap sahaja.
Bagaimanapun, peralatan audio visual pula tidak berfungsi.
Sidang parlimen diteruskan pada jam 2.30 petang tanpa sebarang masalah.
Ketika ditemui wartawan kemudiannya, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, gangguan bekalan elektrik itu disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan di kompleks Parlimen yang merupakan sebahagian daripada landskap.
Menurutnya, ia turut menjejaskan sistem komputer dan apabila bekalan elektrik pulih kurang daripada 10 minit, ia memakan masa untuk dihidupkan semula, menyebabkan sidang terpaksa diberhentikan.
Katanya, beliau juga telah memaklumkan kepada pengarah Jabatan Kerja Raya supaya mengelak kerja penyelenggaraan dilakukan sewaktu sidang dewan, kecuali ianya mustahak.
"Jika tidak, ia hendaklah dilakukan hanya bila Parlimen tidak bersidang, sewaktu hari cuti atau malam," kata Shaziman.

