Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Eksport ular, ahli perniagaan dipenjara 5 tahun
Diterbitkan:  Nov 4, 2010 12:05 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan ahli perniagaan Anson Wong Keng Liang dipenjara lima tahun kerana mengeksport 95 ekor ular berbahaya tanpa permit, dua bulan lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan perkara itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman yang dijatuhi ke atas Wong oleh Mahkamah Sesyen Sepang sebelum ini.

Mohtarudin berkata Wong bagaimanapun tidak perlu membayar denda dan sekiranya denda telah dijelaskan sebelum ini, ia perlu dipulangkan semula kepada Wong.

Pada 6 Sept lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM190,000 selepas Wong, 52, mengaku bersalah mengeksport ular jenis "Boa Constrictor" iaitu spesies berjadual dalam Lampiran Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Akta itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 bagi setiap ekor binatang yang disenaraikan dalam jadual itu atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    

Wong didakwa melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira pukul 8.50 malam, 26 Ogos lalu.

Ular-ular itu dijumpai dalam bagasinya semasa Wong transit dari Pulau Pinang ke Jakarta.

Wong sebelum ini telah membayar denda dan sedang menjalani hukuman penjara seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Seksyen Sepang.

- Bernama

  

ADS