Sekolah Menengah Arab Khairiah tidak terlibat dengan kejadian pelajarnya dirotan 25 kali kerana bercakap dengan seorang pelajar perempuan, kata Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Pengarah YIK Abdul Aziz Yusoff memberitahu malaysiakini bahawa orang yang dikatakan memukul pelajar sekolah tersebut tiada apa-apa kaitan dengan sekolah berkenaan yang di bawah kelolaan yayasan tersebut.

"Pengetua sekolah tersebut memberitahu saya pihak sekolah juga tidak pernah memberi apa-apa arahan kepada sesiapa untuk menghukum mana-mana pelajar. Kami tidak pasti lagi mengapa orang itu bertindak demikian terhadap pelajar sekolah terbabit," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan seorang pelajar tingkatan empat Mohd Asrul Ahmad, 17 yang mendakwa beliau dirotan 25 kali sebagai hukuman kerana berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga rakan sekolahnya.

Utusan Malaysia

hari ini melaporkan bahawa seorang lelaki yang dikenali sebagai 'abang cik' dan seorang lagi telah merotan Mohd Asrul bertubi-tubi di hadapan pelajar-pelajar lain kerana dikatakan membuat maksiat.

Pelajar itu juga mendakwa bahawa rakan perempuannya telah dirotan 25 kali di khalayak ramai atas alasan yang sama.

Dua lelaki direman

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supt Abdul Jalil Talib mengesahkan dua orang lelaki telah direman untuk membantu siasatan.

Pegawai polis itu berkata siasatan awal menunjukkan bahawa mereka berdua bukannya tenaga pengajar atau kakitangan sekolah.

Apabila ditanya jika pihak sekolah akan membuat laporan polis, Abdul Aziz berkata tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kerena pelajar terbabit telah pun membuat laporan polis.

"Jadi kami serahkan kepada pihak polis untuk membuat penyiasatan. Pihak sekolah tidak akan mempunyai masalah untuk memberi kerjasama mereka," katanya lagi.

Beliau juga menekankan hukuman sebegitu tidak wujud di sekolah berkenaan dan menambah bahawa hukuman rotan tidak lagi dipraktikkan di kebanyakan sekolah agama.

Katanya masalah disiplin akan diselesaikan dengan menggunakan kaedah berbentuk mendidik di mana pelajar bermasalah selalunya diberi kaunseling dan nasihat.

Seorang pengetua sekolah agama, Mohd Radhi Ismail menyatakan rasa kesal dengan peristiwa itu dan berharap ianya tidak akan memberi gamabaran negatif terhadap sekolah agama secara amnya.

Beliau berkata seperti sekolah kebangsaan, sekolah agama juga perlu mengikut garis panduan jabatan pendidikan dalam mengendali masalah disiplin pelajar.

Hukuman tidak wujud

"Sekolah agama sama sahaja dengan sekolah biasa. Kami mengikut peraturan jabatan pendidikan. Hukuman rotan ini selalunya akan dikenakan apabila melibatkan perkara yang amat serius seperti merokok dan ponteng," katanya lagi.

Beliau berkata hukuman rotan juga tidak boleh dikenakan oleh sebarangan orang dan hanya pengetua sekolah dan guru disiplin sahaja yang mempunyai budi bicara tersebut.

Sepanjang pengetahuan beliau, hukuman rotan kerana bercakap dengan orang yang bukan muhrim tidak wujud di mana-mana sekolah agama.

Sementara itu Presiden Persatuan Ulamak, Abdul Ghani Shamsuddin menerangkan bahawa hukuman rotan 25 kali kerana bercakap dengan bukan muhrim tidak terdapat dalam hukum Islam sama ada hudud ataupun takzir.

"Tak ada salah jika bercakap dengan orang yang bukan muhrim tentang perkara yang melibatkan pelajaran...melainlah kalau mereka berpegangan tangan, berpelukan, cuit-mencuit dan sebagainya," katanya.