TKM S'wak: Kertas putih tak sekat kebebasan media
Organisasi media tidak harus bimbang dengan cadangan Kertas Putih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi membendung amalan politik tidak sihat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata cadangan Kertas Putih itu bukan berniat untuk menyekat atau mengehadkan kebebasan media daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian dermasiswa pendidikan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri di Miri hari ini, beliau berkata Kertas Putih itu bertujuan membendung sebarang tindakan oleh mana-mana pihak yang boleh membawa kesan buruk kepada negeri itu.
"Tidak menjadi masalah kepada anda untuk mengkritik tetapi anda tidak boleh berkempen sehingga mencetuskan rasa kebencian yang keterlaluan antara satu sama lain," jelasnya.
Pada Selasa lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan usul supaya kerajaan negeri menyediakan sebuah Kertas Putih bagi merangka peraturan atau garis panduan bagi menghalang mana-mana pihak daripada mengamalkan politik tidak sihat khususnya ahli politik.
--Bernama

