Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) berkata rakyat berhak mengambil bahagian dalam perancangan kerajaan mencari penyelesaian berhubung isu sistem pendidikan Islam.

Pengerusi Gegar Mohd Azmi Ismail memberitahu malaysiakini kerajaan patut mengambil pendapat rakyat dan mereka yang terbabit dalam pentadbiran SAR sebelum membentuk apa-apa polisi sistem pendidikan Islam.

"Apa-apa polisi atau rancangan yang melibatkan SAR dan pendidikan agama Islam tidak boleh dikuatkuasa oleh kerajaan sebelum dinilai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian apabila mengulas mengenai laporan bahawa Majlis Raja-raja merestui penyelesaian kerajaan mengenai pendidikan Islam yang akan dikaji oleh sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusi oleh Tan Sri Murad Mohd Noor.

Raja-raja sokong kerajaan

Semalam mesyuarat ke-196 Majlis Raja-raja berakhir di mana Duli-duli Yang Maha Mulia telah berkenan merestui cadangan penyelesai bakal diambil kerajaan berhubung isu pendidikan Islam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Majlis Raja-raja telah diberitahu oleh Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menutup SAR jika sekolah itu berjalan dengan baik.

Mohd Azmi berkata Gegar berpendirian bahawa sebarang keputusan yang diambil oleh mana-mana pihak perlu mengambil kira tuntutan rakyat.

Beliau juga menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci rancangan kerajaan terhadap SAR yang dikatakan direstui oleh Majlis Raja Raja dalam persidangan tersebut.

"Gegar ingin mendapat kenyataan yang jelas adakah memberhentikan bantuan perkapita, mengeluarkan guru-guru dan pelajar dari SAR serta membuat peraturan-peraturan ketat terhadap SAR seperti tidak membenarkan SAR menjadi pusat peperiksaan juga termasuk dalam penyelesaian tersebut?" soalnya.

Arahan jabatan agama

Beliau juga berkata kenyataan Musa kepada Majlis Raja-raja bahawa kerajaan tidak berhasrat menutup SAR adalah "salah dan mengelirukan" kerana tindakan yang diambil kerajaan masih ke arah melumpuh sistem pendidikan tertua di Malaysia itu.

Katanya fakta menunjukkan ada kerajaan negeri yang telah mengambil tindakan menutup SAR seperti Maahad Tahfiz yang telah dipaksa menutup operasi mereka atas arahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Dan terbaru, katanya lagi, Jaim dalam suratnya bertarik 27 Januari juga telah mengarahkan Maahad Annuriah Addimyah, Sungai Udang di Melaka supaya memberhentikan operasinya yang bermula lebih 60 tahun yang lalu.

"Maahad Annuriah ialah sebuah SAR yang tertua dan terbesar di negeri Melaka dan mereka telah diarahkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk memberhentikan serta-merta operasi tanpa memberi apa sebarang alasan.

"Sekolah ini telah beroperasi dengan baik dan begitu banyak berjasa kepada umat Islam Melaka semenjak lebih 60 tahun lepas. Jika benar taklimat Tan Sri Musa kepada Majlis Raja-raja bahawa SAR boleh beroperasi 'jika ia berjalan dengan baik', kenapakah arahan penutupan ini berlaku?" katanya lagi.

Mohd Azmi juga menyoal jika Musa ada memberitahu mengenai hal tindakan kerajaan yang bersifat tekanan terhadap SAR ketika membentangkan taklimat kepada Majlis Raja-raja.

Sokongan negeri

Apabila ditanya apakah rancangan Gegar seterusnya, Mohd Azmi berkata Gegar akan terus menggesa semua SAR meneruskan dengan tuntutan bantuan perkapita dikembalikan kepada mereka kerana inilah punca sebenar tindakan kerajaan dipersoalkan oleh rakyat.

"Kami akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk menilai keputusan Majlis Raja-raja dan impaknya terahdap SAR. Kami takut keputusan itu akan membuat pihak kerajaan negeri atau jabatan agama Islam menarik balik bantuan yang mereka beri kepada SAR."

"Setelah hilang bantuan kerajaan pusat, SAR di seluruh negara akan menerima akibat yang buruk jika pihak kerajaan negeri dan jabatan agama Islam negeri memberhentikan bantuan kewangan," katanya lagi.

Jika perlu mereka akan membuat permohonan mengadap setiap ketua negeri untuk mendapat penjelasan dan sokongan supaya sistem pendidikan SAR diteruskan, tambahnya.