Ahli parlimen BN yang baru, Datin Linda Tsen Thau Lin hari ini mengangkat sumpah jawatannya di Dewan Rakyat.

Timbalan Ketua Wanita, bahagian Elopura, Parti Bersatu Sabah (PBS) itu mengambil ikrar jawatannya di hadapan speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

NONE Dalam pilihan raya kecil merebut kerusi Batu Sapi, Khamis lalu, Tsen mendapat 9,773 undi mengalahkan calon PKR, Ansari Abdullah dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee.

 

Guru muzik berusia 54 tahun itu adalah balu bekas ahli parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya apabila motosikal 750cc bertembung dengan sebuah kereta pada 9 Oktober lalu.

Pasangan Tsen dan Chong mempunyai empat cahaya mata - tiga anak prempuan - Jamie Chong Sing Yi, 23, Charlene Chong Tze Yi,  20, dan Steffi Chong Han Yi, 18 dan seorang anak lelaki Douglas Chong Zheng Yi, 13.

NONE Pandikar mengucapkan selamat maju jaya kepada ahli parlimen baru itu dan berharap beliau memberi sumbangan berguna dan berfaedah kepada Dewan Rakyat dan negara serta berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

Turut mengalu-alukan kedatangan Tsen, adalah ahli parlimen Seri Gading, Mohamad Aziz bagi pihak Kelab Penyokong BN.

“Adakah kerana kalah teruk di Batu Sapi mereka mahu boikot,” perlinya mengejek jumlah ahli parlimen PKR yang ramai tidak hadir pagi ini.

Ahli parlimen DAP Bukit Mertajam Chong Eng juga mengalu-alukan Tsen bagi pihak Pakatan Rakyat dan di kalangan ahli parlimen wanita.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen, Tsen bertkata “beliau telah bersedia menghadapi cabaran baru”.

“Perasaan saya bercampur-campur apabila duduk di kerusi mendiang suami saya. Ia adalah cabaran baru, tanggungjawab berat kini di bahu saya. Tetapi saya sudah bersedia,” katanya.

NONE Walaupun kelihatan kurang selesa, Tsen dilihat bersedia menggalas tanggungjawab barunya.

“Saya mahu teruskan kerja-kerja suami saya. Saya perlu ke akar umbi dan meninjau apa yang rakyat mahu dan bersuara untuk mereka.

“Saya masih baru, tiada pengalaman, banyak perlu belajar. Saya bersedia menghadapi cabaran,” katanya.

Ditanya misi terhadap pengundi di kawasan pendalaman yang diwakilinya, Tsen berkata: “pada dasarnya mereka mahu pembangunan berterusan. Mereka mengundi BN pada pilihan raya kecil kerana mahu pembangunan berterusan.”