Kerajaan tidak boleh menutup sebarangan mana-mana institusi, termasuk sekolah agama rakyat (SAR) sebelum ianya terbukti dijadikan 'sarang pengganas' atau terbabit dalam kegiatan militan, kata Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohammad di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, kenyataan beberapa pemimpin kerajaan, termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan SAR sebagai sebuah 'bom jangka' adalah merupakan satu 'peringatan" bahawa ianya boleh menjadi satu realiti pada masa depan.

Musa menegaskan demikian sewaktu menjawab soalan tambahan Zawawi Ahmad (PAS-Padang Terap) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak menutup terus SAR sekiranya dakwaan mereka benar.

"Dalam mengendalikan isu SAR, kita hendaklah berhimah...yang baik dianggap baik dan yang jahat dianggap jahat...," tegas Musa lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu pemberita kemudian, mana-mana sekolah yang sudah terbukti terbabit dalam kegiatan militan, sepertimana Sekolah Agama Lokman Nur Hakim di Johor telahpun ditutup.

"Bagaimanapun, jika ada satu ataupun dua orang guru (yang terlibat) dan kegiatan itu bukanlah menjadi dasar sekolah, ianya tidaklah perlu ditutup," katanya.

Ikrar Islam

Sebelum itu, ketika menjawab soalan Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin (Sepang) berhubung isu itu, beliau berkata, hasil pemantauan kerajaan yang mendapat terdapat kecenderungan di kalangan SAR untuk berpolitik, mengajar pelajar membenci kerajaan di samping menanam bibit politik Islam militan.

"Indoktrinasi pelajar bermula semasa pelajar masih kecil lagi dengan mengajar merkeka menghayati 'ikrar Islam' yang menyelitkan mati syahid sebagai sesuatu harapan dan matlamat.

Pelajar juga diajar mendendangkan lagu-lagu yang mempersendakan pemimpin kerajaan.

"Pelajar yang dewasa pula diajar menghayati lagu-lagu seperti 'Pemuda Islam' yang antara lain mengajak mereka merelakan darah mereka mengalir ke bumi sebagai darah para syuhada. Peristiwa Memali sering dijadikan perayaan tahunan bagi diingati seiring dengan hasrat menanam semangat berkorban dan mati syahid," tegasnya.

Selain itu, kata Musa, 19 daripada 25 ahli Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang ditangkap pada 2001 pernah belajar di SAR atau sekolah pondok dan kemudiannya ada yang menjadi guru di SAR.

"Mereka mengakui ciri-ciri militan yang diperolehi mereka ditanam semasa belajar di SAR dan diperkembangkan semasa menuntut di negara-negara lain. Pengasas Pertubuhan Persaudaraan Al- Ma'unah, Mohd Amin Razali adalah juga bekas pelajar SAR," tambahnya.

Semua itu, tambahnya, sudah cukup memberi gambaran tentang maksud kerajaan yang menganggap SAR sebagai institusi pendidikan agama yang tebal dengan fahaman politik partisan, mengajar pelajar membenci kerajaan dan tidak mengajar Islam sebenarnya.

Bantuan perkapita

Sebenarnya, kata beliau, kerajaan telah lama berpendapat bahawa menjadi sekolah bantuan kerajaan adalah jalan yang terbaik bagi SAR dan usaha permuafakatan telah dibuat berkali-kali sejak 1977.

"Maklumbalas dari SAR terhadap cadangan menjadikannya sekolah bantuan kerajaan menunjukkan mereka cenderung mendapat bantuan tetapi tidak mahu menyerahkan pentadbiran kepada kerajaan seperti di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT)," tambahnya.

Katanya, sekolah bantuan kerajaan ditadbir oleh pengetua yang dilantik oleh kerajaan, guru yang berkelayakan disediakan dan digaji oleh kerajaan, bantuan perkapita lebih besar dikira bukan sahaja mengikut bilangan pelajar tetapi juga mengikut jenis matapelajaran yang diajar.

"Sebahagian besar prasana dan kemudahannya dibiayai oleh kerajaan termasuk komputer, dan guru-gurunya diberi latihan berkala supaya pengetahuan dan kemahirannya dalam pengajaran dan pembelajaran sentiasa terkini," tambahnya.

Penolakan itu, katanya, bermakna SAR juga menolak syarat pengetuanya dilantik oleh kerajaan dan sekaligus bermaksud ia menolak daripada menjadi sekolah bantuan kerajaan.

Berikutan itu, katanya, kerajaan telah memberhentikan bantuan perkapita kepada SAR mulai 2002 kerana berpendapat adalah lebih baik wang bantuan itu digunakan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan.

Sekolah kebangsaan

"Oleh itu, pelajar dan guru SAR dipelawa memasuki SK. Setakat 28 Feb lalu, 14,916 daripada 74,000 pelajar SAR berpindah ke SK manakala 1,937 daripada 4,429 gurunya memohon berpindah ke SAR dan sedang ditemuduga," tegasnya.

Menurutnya, selagi SAR memilih untuk menjadi sekolah persendirian, selagi itulah iatidak boleh diberi bantuan seperti SJK(C) dan SJK(T), yang merupakan sekolah bantuan kerajaan (sekolah bantuan modal).

Bagaimanpun, katanya, SAR boleh terus beroperasi tetapi ia perlu didaftarkan di bawah Akta Pendidikan 1996 sebagai institusi pendidikan agama swasta supaya kegiatannya dapat dipantau oleh Kementerian Pendidikan.

Sebagai istitusi pendidikan yang didaftar di bawah akta tersebut, katanya, nazir-nazir Kementerian Pendidikan boleh membuat pemantauan untuk mengelak SAR terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat.

"Pilihan lain untuk SAR adalah memilih menjadi sekolah bantuan kerajaan atau sekolah kerajaan jika sesuai diambil alih oleh kerajaan," katanya.

Sehingga tahun 2002, katanya, terdapat 268 SAR di mana 43 daripadanya adalah sekolah rendah (8,078 pelajar) serta 520 guru manakala 225 lagi adalah sekolah SAR menengah dengan 66,375 pelajar dan 3,909 guru.

Subjek teras

Semua SAR berkenaan, katanya, tertakluk di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri dan perlu didaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

Tetapi, katanya, pemberhentian bantuan perkapita dibuat atas dua sebab utama iaitu masalah militan dan pencapaian akademik yang semakin merosot.kebelakangan ini walaupun kerajaan telah menghulur banyak bantuan dalam bentuk kewangan, bentuk kebendaan dan bentuk kursus.

Katanya, hanya 0.2 peratus calon SAR mendapat gred A dalam semua subjek dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2002.

Menurutnya, peratus itu adalah yang terendah berbanding dengan pencapaian tiga peratus di Sekolah Kebangsaan (SK) biasa, 15.9 peratus di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), 63.2 peratus di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 3.8 peratus di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

"Dalam matematik, hanya 3.5 peratus pelajar SAR mendapat gred A berbanding dengan 21. peratus di SK, 67.2 peratus di SMKA, 94.4 peratus di SBP dan 23.9 peratus di SMAN. Corak pencapaian yang serupa juga ditunjukkan bagi Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Geografi, yang semuanya merupakan subjek teras PMR selain Pendidikan Islam dan Matematik," tambahnya.

Peratus pelajar SAR yang lulus semua matapelajaran dalam PMR 2002, dengan mendapat sekurang-kurangnya gred D dalam semua matapelajaran sangat rendah, iaitu hanya 35.2 peratus berbanding dengan 62.7 peratus di SK, 92.9 peratus (SMKA), 100 peratus (SBP) dan 72.6 peratus (SMAN).