Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAKIM diarah siasat agama bapa murid
Diterbitkan:  Nov 10, 2010 8:47 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Kerajaan telah mengarahkan bahagian penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

    

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata selepas mengenal pasti status Beginda Anak Minda atau Noor Azman Abdullah, siasatan boleh dijalankan terhadap dakwaan anaknya Basil Anak Beginda dirotan guru akibat kejadian itu.

    

Katanya status agama Beginda perlu disiasat kerana mengikut keputusan muzakarah Fatwa Kebangsaan apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

    

"Selepas itu (baru) boleh sampai kepada kesimpulan apa juga keputusan tentang itu boleh tentukan kepada kenapa budak ini dirotan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    

Akhbar pada 5 November lepas melaporkan seorang ibu, Angela anak Jabing membuat aduan bersama sayap wanita PKR kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Sehubungan itu, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datin Fatimah Abdullah berkata Jabatan Pelajaran Negeri itu akan meneliti kes berkenaan selain mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah.

    

Terdahulu, persidangan dewan hari ini hangat apabila Zulkifli Nordin (BEBAS-Kulim-Bandar Baharu) yang berbahas membangkitkan isu berkenaan dan mempersoal pendirian PAS berhubung perkara terbabit.

    

Kekecohan itu berlarutan sehingga mengakibatkan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) diarah keluar dewan sehingga Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyambung persidangan dewan pada sebelah petang, kerana berterusan mencelah ketika Zulkifli berbahas, walaupun diarah untuk tidak berbuat demikian beberapa kali.

    

Dzulkefly berterusan menyalahkan Zulkifli kerana membawa isu itu ke dalam dewan, dan menyatakan ia tidak sesuai dibincangkan berikutan masa yang  diperuntukkan kepada anggota parlimen untuk berbahas sangat singkat iaitu 10 minit.

    

Rentetan daripada itu, Zulkifli kemudian membalas dengan bertanya: "Adakah kamu (Dzulkefly) sokong anak seorang Islam bawa babi ke sekolah?"

    

Pada sebelah petang, Chong Chien Jen (DAP-Bandar Kuching) memberitahu pemberita bahawa Basil bukan orang Islam berdasarkan status agama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak itu dan sijil perkahwinan ibu bapanya yang dihantar melalui e-mel kepadanya oleh ibu kanak-kanak itu hari ini.

"Menurut sijil itu, bapa kanak-kanak itu, Beginda Anak Minda tidak mempunyai agama manakala ibunya, Angela anak Jabing adalah Kristian. Jadi berdasarkan ini, kanak-kanak itu dibesarkan sebagai seorang penganut Kristian menurut agama ibunya," katanya.

    

Katanya persoalan yang berbangkit sekarang ialah kenapa Basil dirotan  penolong kanan sekolah itu kerana membawa sosej babi ke sekolah.

    

Beliau mendakwa bahawa menjadi kebiasaan bagi kedai kopi di Sarawak menjual makanan hahal dan tidak halal di tempat yang sama dan bagi orang Islam dan bukan Islam untuk makan di meja yang sama.

- Bernama

ADS