BERITA

Artikel 13 Mei, speaker enggan layan soalan MP

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Nov 2010, 7:49 pagi

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak soalan berhubung artikel di Utusan Malaysia yang mencadangkan program khas diadakan pada 13 Mei setiap tahun bagi mengingatkan rakyat khususnya golongan belia kepada peristiwa hitam berkenaan.

parliament pandikar amin anwar ibrahim lim kit siang dap pkr pc 121108 04 Ia berlaku selepas Timbalan Menteri, Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop baru selepas menjawap pertanyaan daripada Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung perkara yang berkaitan dengan peraturan media cetak.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ( kiri ) kemudian mengemukakan soalan tambahan mengenai tindakan yang telah diambil ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan artikel yang berbaur perkauman, khususnya lidah pengarangnya mengenai 13 Mei.

"Semalam Utusan Malaysia ada mengeluarkan satu laporan yang menyifatkan 13 Mei satu tarikh keramat dan perlu disambut meskipun ia satu hari hitam dalam sejarah Malaysia di mana nyawa semua kaum terkorban.

"Bukankah ini merupakan satu hasutan dan sangat berbahaya? Apa pandangan Menteri dan adakah ia satu tajuk berita yang perlu dikaji oleh jawatankuasa sensitiviti kerana Utusan Malaysia dianggap sebagai lidah rasmi Umno.

Tak perlu jawap

"Adakah ini pendirian Umno dan Barisan Nasional dan bolehkah ada satu sikap yang serius untuk mengutuk laporan seperti ini," kata Lim.

Pandikar kemudiannya berkata tidak perlu bagi Abu Seman menjawap soalan itu kerana dari pemahamannya, Lim hanya ingin mengetahui pandangan peribadi timbalan menteri itu.

"Saya nak ingatkan kalau soalan itu bertentangan dengan peraturan mesyuarat 23(1) andaian, spekulasi mengenai soalan ditanya, pendapat seorang Menteri yang ada hubungan dengan politik, saya rasa tak payah jawablah.

parliament pandikar amin anwar ibrahim lim kit siang dap pkr pc 121108 07 “Ini tidak ada kaitan dengan kementerian. Ia soalan hipotesis. Saya tidak akan benarkan soalan ini. Saya tidak mahu,” kata Pandikar meskipun Lim berulang-kali berkata beliau cuba menegakkan hakikat.

“Saya faham soalan anda merujuk kepada pendapat politiknya yang tidak ada kena mengena dengan kementerian,” tegas Pandikar ( kiri ).

Rencana pengarang semalam menimbulkan rasa amat tidak puas hati di kalangan pemimpin DAP kerana mereka dipersalahkan berhubung apa yang berlaku pada pertumpahan darah 1969 itu. Malah, Utusan Malaysia juga mencadangkan tarikh 13 Mei setiap tahun ‘diraikan’ sebagai peringatan terhadap bermulanya Dasar Ekonomi Baru.

Antara petikannya: “Kerana tarikh itu jugalah rakyat hari ini hidup aman, damai dan sentosa (walaupun belum sepenuhnya lagi). Tidak pastilah kita sekiranya DAP terlalu bencikan DEB itu sehinggakan tarikh 13 Mei pun dia tidak mahu ia disebut.

“Apa yang Lim Guan Eng takut sangat apabila ada pihak yang menggunakan perkataan bersejarah 13 Mei itu? Ia adalah tarikh keramat di negara ini kerana disebabkan tarikh itulah rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat disusun semula menjadi lebih baik dan makmur. Kerana tarikh itu jugalah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk.”

76 akhbar diluluskan

Sebelum itu, Abu Seman  memaklumkan kepada Dewan Rakyat, 19 penerbitan telah diberi peringatan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana mencabuli Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tahun ini.

NONE Abu Seman ( kiri ) berkata semua syarikat berkenaan telah dinasihat, diberi amaran atau juga dikeluarkan surat tunjuk sebab tetapi tidak ada yang lesen penerbitan mereka digantung.

Katanya, tindakan itu jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak menyekat kebebasan akhbar di negara ini.

"Tindakan yang diambil ke atas akhbar dalam semua bahasa sangat jelas membuktikan Malaysia tidak menyekat atau mengekang kebebasan media.

"Langkah ini (jawatankuasa pengukuhan) diambil bagi memastikan amalan media di negara bersih daripada elemen hasutan fitnah tohmahan dan perkara negatif ke atas pembangunan negara kita," katanya.

Abu Seman berkata setakat ini Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan sebanyak 76 akhbar dalam pelbagai bahasa.

Jumlah akhbar dalam Bahasa Melayu ialah 18, Bahasa Inggeris (19), Bahasa Cina (29) dan Bahasa Punjabi/Tamil (10).

Abu Seman berkata pada masa sama kementerian juga telah meluluskan sebanyak 42 permit akhbar tabloid yang bercorak hal ehwal semasa dan 16 permit bagi surat khabar berita parti-parti politik dalam negara.

Majlis Media Malaysia

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid meminta kementerian menjelaskan mengenai cadangan kerajaan mewujudkan Majlis  Media Malaysia (MMC) yang dibatalkan kerana dibantah oleh pengamal media.

azlan "Dahulu ada ura-ura untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) tetapi dibantah oleh wartawan khususnya Persatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan ia dibatalkan.

"Adakah kerajaan bercadang mewujudkan MMC dengan syarat memasukkan akta penerbitan dan percetakan akhbar Malaysia dan beroperasi dengan bebas, dikawal sendiri oleh pengawal media dan mempunyai perwakilan yang seimbang antara orang awam dan media?" soalnya.

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, kerajaan sedang mengkaji akta mesin cetak dan penerbitan 1984 sebelum menubuhkannya.

"Malaysia bercadang untuk mewujudkan MMC dan kementerian sedang meneliti akta mesin cetak dan penerbitan 1984. Kita akan melihat yang terbaik," katanya.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.