Sekolah dinasihat cepat bina tadika di tapak kuil
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Datuk Adnan Md Ikhsan mempertahankan tindakan kakitangan agensi penguatkuasaan itu merobohkan stor yang dibina atas sempadan tapak Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Castlefield, Puchong pada Isnin lalu.
Menurutnya, selepas menerima aduan dan selesai siasatan, didapati struktur tanpa izin tersebut adalah milik kuil dan pembinaan telah memasuki sebahagian kawasan sekolah.
"Untuk makluman, pihak sekolah telah bersetuju untuk membenarkan pembinaan kuil tersebut secara sementara dan jawatankuasa kuil juga bersetuju mengembalikan tanah yang digunakan itu sekiranya pihak sekolah memerlukannya untuk sebarang pembinaan," katanya.
Adnan berkata, pihak sekolah telah menerima peruntukan daripada jabatan pelajaran negeri Selangor sebanyak RM500,000 untuk pembinaan sebuah tadika di lokasi itu.
Isu perobohan sebahagian kuil tersebut menarik perhatian pelbagai pihak apabila gara-gara terlalu bimbang, seorang lelaki bertindak nekad dengan 'membakar' dirinya sendiri Isnin lalu.
Menurut Adnan, pihak sekolah juga dinasihati untuk mempercepatkan pembinaan bangunan tadika bagi mengelakkan peruntukan itu ditarik semula.
"Susulan daripada itu, MPSJ telah mengambil tindakan perobohan pada 8 November setelah notis pemberitahuan bangunan di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 tempoh selama tujuh hari yang dikeluarkan pada 26 Oktober tamat," ujarnya.
Adnan berkata bagaimanapun tiga binaan tanpa izin seperti stor penyimpanan barangan, tandas dan tangki air telah ditangguhkan perobohan bagi membincangkan lokasi penempatan semula sementara.
Menurutnya, hasil perbincangan antara pihak sekolah dan kuil bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, mesyuarat telah bersetuju membenarkan kontraktor sekolah menyediakan bangunan stor dan tandas sementara bagi tempoh tidak melebihi setahun di atas sebahagian tapak rezab yang disedaikan.
"Pemilik kuil di minta supaya memindahkan semua barangan ke dalam stor baru sebaik sahaja bangunan tersebut siap dibina oleh kontraktor sekolah tersebut," katanya.

