Bantuan bernilai Rp1 bilion (RM350,000) kepada mangsa bencana Gunung Merapi di Yogyakarta disampaikan semalam adalah daripada Umno dan bukannya sumbangan peribadi Datuk Seri Najib Razak seperti yang dilaporkan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

NONE Katanya Najib selaku Presiden parti telah mewakilkan beliau untuk menyampaikan bantuan itu bagi pihak Umno.

"Umno amat bersimpati kepada rakyat Indonesia dalam bencana yang telah melibatkan 500,000 mangsa serta mengorbankan 194 orang.

"Sebagai tanda keprihatinan rakyat Malaysia, saya dan rombongan telah menyampaikan sumbangan yang berupa barangan pelbagai kegunaan kepada Sultan Yogyakarta yang juga Gabenor provinsi itu, Sri Sultan Hamengku Buwono ke-10," katanya dalam satu kenyataan.

NONE Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata bahawa dalam lawatan itu beliau telah mengunjungi pusat akhbar dan pusat pengedaran bantuan bagi melihat sendiri bagaimana maklumat bencana disampaikan serta bantuan disalurkan kepada mangsa.

Bantuan yang disampaikan berupa susu bayi, makanan, selimut, tuala, kain sarung dan tuala wanita diserahkan kepada Sultan Yogyakarta, bagi meringankan penderitaan mangsa bencana Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah.

- Bernama