Impian 15 pemain bola sepak remaja tempatan bakal menjadi kenyataan apabila mereka menjejakkan kaki ke bumi samba minggu depan.

Pemain berkenaan, berumur antara 13 dan 17 tahun, akan berlepas ke Brazil pada 24 November untuk menjalani sesi latihan selama sebulan bersama kelab bola sepak yang terkenal dan paling berjaya di Brazil iaitu Sao Paulo Football Club.

Menurut pengurus pasukan Henry Pillai, pemain-pemain itu, yang mengikuti latihan di bawah Brazil Football Centre di Subang Jaya di sini, akan turut mengambil bahagian dalam satu kejohanan antarabangsa yang akan diadakan di negara berkenaan.

"Di sana, (Brazil) mereka akan didedahkan kepada kelab bola sepak dan stadium yang berlainan. Mereka juga akan diberi peluang bertemu dan beramah mesra dengan beberapa bintang bola sepak Brazil.

"Kami harap apabila mereka kembali ke tanah air, mereka akan menjadi lebih bersemangat dan mempunyai azam untuk meningkatkan kualiti sukan terutamanya bola sepak di Malaysia," katanya kepada Bernama selepas sesi latihan pasukan itu di Sekolah Menengah Sri Kelana Jaya di Petaling Jaya.