Salam Aidil Adha dari Malaysiakini
Malaysiakini mengucapakan selamat Aidil Adha kepada semua pembaca, khususnya yang beragama Islam.
Sempena dengan hari mulia ini, wartawan, editor dan kakitangan kami akan juga bercuti dan sesetengah mereka menunaikan ibadah korban. Kami akan kembali esok dengan berita-berita seperti sedia-kala.
Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mentaati
perintah Allah SWT.
Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS ini merupakan tanda kebesaran Allah dan kekuatan iman kedua-dua Nabi Allah dalam mentaati suruhanNya.
Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS yang diperintah Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah SWT dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.
Mengambil keberkatan sambutan Hari Raya Korban, masyarakat Islam tidak lupa untuk menunaikan ibadah korban apabila beratus-ratus ekor lembu, kerbau dan kambing dikorbankan di masjid-masjid, surau-surau, kampung-kampung dan juga taman-taman perumahan yang terletak di kawasan bandar.
Sementara itu, Bernama melaporkan umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana tetapi penuh kesyukuran disertai dengan semangat pengorbanan.
Sambutan diadakan ketika ada yang menghadapi pelbagai dugaan dan bencana, terutamanya di utara tanah air apabila beribu-ribu penduduk di Kedah dan Perlis terjejas akibat banjir sejak beberapa minggu lalu.
Banjir mengakibatkan lebih 77,000 orang daripada lebih 17,000 keluarga terjejas, namun kesemua mangsa bernasib baik kerana tidak perlu menyambut hari raya di pusat pemindahan mangsa banjir setelah keadaan kembali pulih beberapa hari lalu.
Sementara itu, Bernama melaporkan sambutan Aidiladha dimulakan sejak awal pagi dengan umat Islam memenuhi masjid untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di Kuala Lumpur.

