Pemuda Umno dan PAS akan menghantar nota bantahan bersama kepada kedutaan Amerika di Kuala Lumpur esok bagi menyuarakan pendirian rakyat Malaysia yang menentang serangan terhadap Iraq.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, pergerakan Pemuda Umno dan Dewan Pemuda PAS bersetuju untuk menganjurkan bersama program-program bagi membantah serangan Amerika dan sekutunya terhadap Iraq.

"Saya bersama-sama (Ketua Pemuda PAS) Mahfuz Omar serta rakan-rakan dari NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang lain akan membawa suara rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik," katanya di sidang media bersama di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Bernama

melaporkan Hishammuddin sebagai berkata, penghantaran nota banthan itu adalah kerjasama pertama Umno-PAS.

Ia dijangka diserahkan kepada Duta Amerika ke Malaysia Marie T Huhtala selepas jam 1 tengah hari esok bagi menyatakan bahawa tindakan negara itu dan sekutunya terhadap Iraq tidak mendapat sokongan dunia.

Protes

"Pendirian kita jelas mengutuk, mengecam sekeras-kerasnya serangan Amerika dan sekutunya terhadap Iraq. Kita fikirkan bagaimana pendirian bersama kita ini dapat kita ketengahkan, selain daripada program-program protes lain yang akan kita fikirkan bersama," katanya.

Hishammuddin dan Mahfuz berkata mereka akan menjemput parti-parti lain untuk menyertai rombongan itu.

Hishammuddin berasa terharu dengan sokongan PAS itu bagi membolehkan kedua-dua parti bergerak sebagai satu suara dan membawa suara tentangan rakyat Malaysia.

Mahfuz pula berkata isu peperangan adalah isu biasa yang menyentuh soal nilai kemanusiaan sejagat dan perlu didukungi semua pihak sepertimana saranan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Dalam isu ini kita mengharapkan penentangan ini bukan hanya dalam bentuk persidangan semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan secara lebih praktikal," katanya.

Aman Malaysia

Penentangan itu, tambah Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, lebih praktikal sekiranya usaha dapat diambil bagi meyedarkan rakyat Malaysia untuk mengubah cara hidup dengan menyingkirkan pengaruh gaya hidup Amerika.

Beliau juga menggesa supaya dipulaukan sebarang kepentingan ekonomi Amerika dari sudut kuasa beli yang ada pada masyarakat antarabangsa.

Mahfuz juga berharap kerajaan Malaysia, sebagai Pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), dapat melobi negara-negara besar yang menentang peperangan, seperti Jerman dan China, untuk membawa Amerika dan sekutunya ke mahkamah jenayah antarabangsa untuk diadili.

Mengenai kempen Aman Malaysia, Hishamuddin berkata ia bukanlah milik Umno tetapi milik rakyat Malaysia dan dengan itu mana-mana parti pun boleh turut serta dalam program itu.