Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah hari ini dibawa melawat tempat kejadian di mana kenderaan kereta polis mengejar kereta yang dipandu Aminulrashid ketika kejadian pada 26 April lalu.

Empat orang saksi yang dibawa bersama itu adalah rakan Aminulrashid, Azamuddin Omar yang juga berada di kereta ketika remaja 15 tahun berkenaan ditembak mati dan tiga orang anggota polis yang mengejarnya. Mereka dibawa bagi mengecam laluan dan tempat kejadian.

NONE Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan daripada pegawai forensik Cif Insp Mazli Jusoh yang membuat pemeriksaan di tempat kejadian.

Mazli ketika disoal oleh pendakwaan berkata beliau telah membawa Azamuddin untuk mengecam laluan dan tempat kejadian tersebut pada 5 Mei lalu.

Beliau sebelum itu juga telah memeriksa tempat kejadian selepas insiden tersebut berlaku pada 26 April tahun ini.

Ditanya lanjut oleh timbalan pendakwaraya Dusuki Mokhtar, Mazli berkata beliau mengambil masa sejam untuk meneliti laluan berkenaan.

Katanya, laluan tersebut bermula daripada sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam hinggalah ke lokasi kereta berkenaan terbabas di Seksyen 11.

Bagaimanapun, beliau tidak menyediakan rajah kasar bagi keseluruhan laluan berkenaan.

azlan "Saya cuma sediakan rajah untuk Jalan Tarian 11/2," kata Mazli.

Tambahnya, laluan berkenaan disediakan berdasarkan keterangan daripada Azamuddin dan juga tertuduh Lans Kpl Jenain Subi.

Azamuddin menaiki kereta yang dipandu mangsa, manakala Jenain menaiki kenderaan peronda polis yang mengejar kenderaan mangsa dalam kejadian berkenaan, katanya lagi.

Ekoran kenyatannya itu, Dusuki meminta mahkamah untuk melawat laluan dan lokasi kejadian berkenaan sebelum menyoal Mazli semula.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan permohonan berkenaan.

Di lokasi pertama di Seksyen 7, mahkamah mendengar keterangan daripada Azamuddin dan Mazli berhubung kedudukan sebuah kereta jenis Toyota Celica yang dikatakan bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid pada waktu kejadian.

NONE Mahkamah kemudiannya turut melawat satu lokasi di Persiaran Datuk Menteri di mana kenderaan mangsa bergesel dengan sebuah motorsikal yang mengejarnya.

Di lokasi seterusnya, mahkamah meneliti satu persimpangan dengan lampu isyarat, di mana kenderaan mangsa melanggar lampu merah.

Di lokasi terakhir, mahkamah meneliti lokasi di mana mangsa ditembak dan kemudiannya kenderaan tersebut terbabas.

Di kawasan berkenaan, Mazli menunjukkan lokasi di mana beliau mengutip kelongsong peluru daripada tembakan yang dilepaskan, manakala Azamuddin menunjukkan lokasi kenderaaan berkenaan apabila ia terbabas.

ADS