Imej dan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terjejas sekiranya enam kelemahan utama di kalangan anggotanya tidak diatasi segara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai hari ini.

Enam kelemahan itu, jelas beliau ialah amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, layanan sambil lewa, kurang budi bahasa, cuai dan melibatkan diri dengan jenayah.

Bernama

memetik Norian sebagai berkata akibat kelemahan itu, 98 pegawai dan anggota dihentikan kerja manakala 758 lagi dikenakan tindakan disiplin sepanjang tahun lalu.

"Saranan saya pada tahun ini biarlah kita berkhidmat dengan ikhlas kerana inilah cara untuk kita atasi semua rungutan yang ditujukan pada PDRM," katanya ketika diminta mengulas mengenai perutusannya sempena Hari Polis ke-196 di Pusat Latihan Polis, di sini.

Bagaimanapun, Norian menjelaskan beliau membangkitkan perkara itu bukan bertujuan untuk mendedahkan masalah dalam PDRM, seolah-olahnya ia terlalu serius, tetapi untuk membuktikan bahawa PDRM benar-benar telus dan tegas terhadap anggotanya.

Sementara, ketika bertitah di majlis yang sama, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menegaskan perlunya pegawai dan anggota polis berpegang teguh kepada etika kerja supaya disegani dan dihormati rakyat.

Salahguna kuasa

Bagi tujuan itu, titah Seri Paduka, mereka hendaklah terus komited dan bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan yang terbaik.

Seri Paduka juga berharap tema Hari Polis ke-196 Mesra, Cepat dan Betul berupaya menggerakkan satu budaya kerja yang produktif, berdaya maju, berwibawa dan berkesan kepada setiap peringkat pegawai dan anggota polis.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan anggota pasukan polis agar memelihara akhlak dan mengamalkan cara hidup yang sederhana.

Mereka juga harus membudayakan pembelajaran yang berterusan supaya mereka tidak tertinggal dari arus perdana yang kini menjurus kepada pengurusan berteraskan ilmu.