Pasukan Perpaduan pamer barisan calonnya
Dengan berbaki hanya enam hari lagi sebelum pemilihan DAP Selangor berlangsung, kumpulan yang disokong oleh setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng bersatu bagi membuktikan perpaduan mereka.
Kumpulan yang dilabel sebagai Pasukan Perpaduan itu mempunyai 13 calon yang diketuai oleh exco kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok akan bertanding pada pemilihan yang dijadualkan Ahad ini.
Semua 13 calon itu diperkenalkan pada satu majlis makan malam di Serdang, malam semalam. Kehadiran Lim secara tidak langsung adalah bukti bahawa beliau mentokong kumpulan berkenaan.
Mereka termasuk pengerusi negeri, Ean Yong Hian Wah; timbalannya Tony Pua; naib pengerusi Charles Santiago; setiausaha Lau Weng San; ketua publisiti Tiew Way Keng; penolong setiausaha penganjuran, Teo Nie Ching; ketua biro pendidikan politik, Lee Kee Hiong; MP Puchong Gobind Singh Deo; ahli majlis perbandaran Kajang, ST Chandra Mohan dan ahli majlis Shah Alam, V Ganabatirau.
Dua lagi anggota - bendahari Hannah Yeoh dan penolong setiausaha publisiti Jenice Lee - tidak hadir kerana berada di luar negara.
Dianggap simbolik
Mereka adalah antara 50 calon yang akan bertanding bagi pemilihan merebut 15 jawatankuasa pusat Selangor.
Kira-kira 1,000 orang awam membayat bagi menghadiri majlis makan malam ini yang juga bertujuan mengumpul derma bagi pusat khidmat DAP Serdang.
Majlis malam semalam itu dianggap simbolik kerana sebelum ini kumpulan seterunya yang digelar sebagai Pasukan Reform Keadilan telah mengumumkan pencalonan mereka.
Kumpulan itu diketuai oleh anggota jawatankuasa pusat, Teng Chang Khim yang juga speaker dewan undangan negeri Selangor. Beliau dikatakan adalah ancaman terbesar terhadap kepimpinan Lim. Namun Teng telah menafikan beliau adalah sebahagian daripada kumpulan berkenaan.
Teng dan kumpulannya telah dengan aktif berkempen sejak beberapa minggu lalu bagi menyakinkan 1,008 mengenai keperluan menukar kepimpinan DAP Selangor.
Dengan karisma dan kualiti kepimpinannya, Teng mendapat simpati daripada akar umbi kerana beliau seringkali diketepikan oleh parti kerana mempunyai pandangan yang berbeza.
Tidak seperti modus operandi Teng yang membidas lawannya, kumpulan Pasukan Perpaduan memilih untuk tidak menyentuh pemilihan parti pada ucapan mereka semalam.
Malah, Lim juga enggan berdebat mengenai isu berkenaan tetapi sebalik ucapannya terjurus kepada kerja keras yang terpaksa digalas oleh Pakatan Rakyat dalam usaha mereka menawan Putrajaya.

