Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan bekas speaker DUN Perak - 14 Jan depan
Diterbitkan:  Nov 23, 2010 8:21 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 Jan depan untuk membuat keputusan permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar dan enam lagi untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.

Hakim Datuk Aziah Ali memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada semua pihak, namun sebelum menetapkan tarikh itu, beliau menolak permohonan peguam Datuk Ambiga Sreenevasan supaya Abdul Latif Arifin dikeluarkan sebagai pemohon kelima dalam kes itu.

Ambiga berhujah bahawa Abdul Latif bukan pengundi di Dewan Undangan Negeri Changkat Jering sebaliknya di Kuala Sepetang.

Susulan keputusan menolak pengeluaran Abdul Latif sebagai pemohon, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said memohon supaya mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman itu kerana ia tiada locus standi berikutan pemohon bukan pengundi asal.

Aziah memutuskan untuk membuat keputusan berkenaan perkara itu pada tarikh yang sama.

Pada 22 Okt tahun lalu, tujuh pemohon diberi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Mereka adalah Sivakumar, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan . Sivanesan serta tiga pengundi iaitu Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang).

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Mereka mahu mahkamah mengeluarkan surat perintah memaksa SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong berikutan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat itu dan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Sementara itu, dalam hujahannya Ambiga, yang mewakili semua pemohon, berkata SPR sepatutnya memanggil kesemua pihak untuk mendapatkan maklumat dalam pelbagai perkara sebelum membuat keputusan.

SPR, katanya patut meneliti surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Sivakumar oleh Jamaluddin dan Mohd Osman pada 30 Jan 2009 serta Yit Fong pada 3 Feb 2009.

Ambiga berkata penafian Jamaluddin, Mohd Osman dan Yit Foong bahawa mereka tidak pernah menghantar surat itu juga tidak terjawab dan timbul persoalan siapakah yang menghantar dan menulis surat itu sebenarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said berhujah bahawa SPR telah membuat keputusan yang betul pada ketika itu dan memohon mahkamah menolak permohonan berkenaan dengan kos kerana ketiga-tiga kerusi DUN itu masih dipegang

oleh Jamaluddin, Mohd Osman dan Yit Foong.

Beliau berkata peletakan jawatan responden pertama, kedua dan ketiga tidak mewajarkan kerusi berkenaan kosong secara automatik dan kekosongan kerusi hanya boleh diisytiharkan kosong oleh SPR menurut Artikel XXXVI(v) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Oleh yang demikian adalah jelas mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, ia merupakan tugas eksklusif perlembagaan SPR untuk menentukan kekosongan luar jangka. Memandangkan tiada peruntukan nyata tentang bagaimana menentukan kekosongan luar jangka itu perlu dilakukan, apa yang penting dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaannnya, SPR mesti melakukan tanpa motif tidak wajar, tidak terkhilaf dalam undang-undang atau tidak mengambil kira hal-hal tidak berkaitan atau keputusannya tidak bertentangan dengan kehendak statut," katanya.

Mengenai keputusan dalam kes Jamaluddin, tanggungjawab Speaker terhad kepada  menerima surat peletakan jawatan wakil rakyat dan selepas itu memaklumkan kepada  

SPR, yang kemudiannya akan menentukan sama ada wujud kekosongan atau tidak.

"Tiada peruntukan nyata yang mengkehendaki SPR untuk menjalankan satu inkuiri," katanya.

- Bernama

ADS