Isu sekolah agama rakyat (SAR) 'belum selesai" sepertimana yang didakwa oleh Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad selagi kerajaan tidak menyalurkan semula bantuan perkapita kepada SAR, kata pengerusi Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, isu juga tidak akan selesai selagi kerajaan terus berdolak-dalih dan memberi alasan yang berubah-ubah mengenai alasan mengapa bantuan itu diberhentikan.

Sambil menyangkal dakwaan Musa ( gambar ) di Dewan Rakyat baru-baru ini yang memberi alasan kelemahan prestasi akademik untuk memberhentikan bantuan kepada SAR, Mohd Azmi berkata:

"Ini jelas bertentangan dengan alasan awal yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin negara ini yang mengaitkan SAR dengan kegiatan pengganas,. Malah, kerajaan masih belum dapat membuktikannya."

Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, beliau turut menolak alasan akademik digunakan untuk menjustifikasikan tindakan tersebut kerana Musa sendiri mengakui ada SAR yang berprestasi cemerlang.

Baru-baru ini, Musa memberitahu media bahawa isu SAR "boleh dianggap selesai" berikutan penjelasan beliau yang panjang lebar di Dewan Rakyat minggu lalu.

Kes mahkamah

Ekoran itu, setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob ( gambar ) mendakwa PAS kini bimbang kedudukan parti akan terjejas berikutan kejayaan kerajaan menyelesaikan isu tersebut.

Isnin lalu, akhbar Utusan Malaysia memetik Khalil sebagai berkata PAS akan menghadapi kerugian, terutama dalam kempen pilihanraya umum berikutan kejayaan kerajaan memperjelaskan isu ini.

"PAS tahu, jika isu SAR dapat diselesaikan, ia bakal merugikan mereka. Kalau boleh sampai pilihanraya pun, ia sengaja tak nak faham, sebab mereka tahu itu merugikan,'" katanya.

Mohd Azmi juga memberitahu pihaknya sedang merangka afidavit bagi membawa kes pemberhentian bantuan perkapita kepada SAR ke mahkamah .

Beliau, bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang mengenainya kerana afidavit tersebut sedang disediakan oleh beberapa orang peguam yang mewakili Gegar.

Katanya, beberapa buah sekolah yang telah dan "mangsa" tindakan kerajaan terhadap SAR telahpun dikenalpasti untuk menjadi plantiff dalam kes tersebut.

Jawatankuasa khas

Ditanya mengenai rancangan PAS untuk menganjur pertemuan di antara kumpulan yang berjuang mempertahankan SAR dengan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiao Zhong , Mohd Azmi berkata pihaknya masih belum menerima sebarang jemputan dari parti itu.

"Kami hanya sekadar mengetahui mengenai perkara tersebut melalui laporan media," tambahnya.

Mengenai kemungkinan Gegar menyertai PAS dalam pertemuan dengan DJZ itu, Mohd Azmi berkata: "Sekiranya kami dapati ianya relevan, kenapa tidak!"

Masa depan SAR akan ditentukan oleh sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Murad Mohd Noor yang ditugaskan mengkaji secara terperinci semua aspek mengenai SAR, sepertimana yang telah direstui oleh Majlis Raja-Raja baru-baru ini.