K'jaan P Pinang nafi roboh tempat sembahyang Hindu
Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang terus dihantui dakwaan bahawa mereka meminggirkan masyarakat India di negeri itu.
Tohmahan terbaru tersebar luas menerusi SMS menuduh kerajaan negeri merobohkan sebuah tempat sembahyang di Kampung Jawa, Seberang Jaya. Ini menimbulkan kegelisahan di kalangan penyokong Pakatan.
"Khabar angin itu begitu kencang sehingga tersebar ke Kedah dan Selangor,” kata ahli jawatankuasa Pemuda DAP Pulau Pinang, Satees Muniandy.
Minggu lalu, sekumpulan kecil penyokong yang dipercayai didalangi oleh pembangkang berhimpun di ibu pejabat DAP yang menerajui kerajaan Pakatan di Pulau Pinang dan mendakwa parti itu rasis.
Ia dikatakan bertujuan memburukan imej DAP menjelang konvensyen parti itu pada Disember ini dan ura-ura bahawa kemungkinan pilihan raya umum tahun depan.
Meskipun identiti penyebar fitnah itu tidak dapat dipastikan, sesetengah pihak mendakwa ia ada kaitan dengan ‘kuasa ketiga’ atau 'the third force'.
“Ahli parlimen kita dari negeri lain telefon untuk semak sama ada tempat suci itu dirobohkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Satees, yang juga setiausaha Dapsy Batu Kawan menafikan tempat sembahyang yang terletak di tanah swasta itu dirobohkan oleh kerajaan negeri.
Katanya, masalah timbul antara pemilik tanah dan jawatankuasa kuil kerana pemilik tanah telah mendapat perintah mahkamah supaya tanahnya itu dikosongkan.
"Dakwaan itu tidak berasas dan satu fitnah supaya masyarakat India lari daripada Pakatan Rakyat,” kata Satees, yang juga penolong kepada Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.
Satees berkata ADUN Bagan Dalam, A Thanasekharan telah mencadangkan kawasan lain bagi tempat sembahyang itu bagi mengatasi masalah berkenaan.
Katanya lagi, ADUN itu juga berjanji menyumbang RM9,000 bagi membekalkan bumbung di tempat sembahyang itu, selepas melawatnya semalam dengan Ramasamy.
Ketika dihubungi, Thanasekharan berkata "tiada banyak yang boleh dilakukan" kerana tempat sembahyang itu terletak di tanah persendirian.
"Pemiliknya telah dapat perintah mahkamah supaya tempat sembahyang itu dipindahkan dari tanahnya,” katanya.
"Jadi pemilik itu datang dengan pekerjanya merobohkan tempat itu, tetapi mereka bukan dari kerajaan negeri,” katanya.

