Polis menolak permohonan permit oleh DAP untuk mengadakan perhimpunan di Bazar Lama Batu Kawa di Kuching esok.

Ini bermakna parti itu tidak boleh mengadakan jamuan malam seperti yang telah dirancang, bertemakan 'Solidarity with YB Ting Tze Hui', di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong berkata masanya tidak sesuai untuk menganjurkan perhimpunan seperti itu.

"Kami telah pun menolak permohonan daripada DAP. Berdasarkan undang-undang, kami tidak perlu memberi apa-apa alasan.

"Jika ada sebarang bantahan, mereka (anggota DAP) boleh merayu kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak (Datuk Mohmad Salleh)," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah di Kuching hari ini.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bandar Kuching dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Sentosa Chong Chieng Jen berkata orang ramai yang telah pun membeli tiket untuk menghadiri majlis itu boleh mendapatkan semula bayaran balik di venue berkenaan esok.

- Bernama