Sambil menyifatkan tindakan seperti berjihad di Iraq bagi menentang pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya sebagai "terlalu drastik", ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menasihatkan pemuda di negara ini supaya mengambil tindakan yang lebih bermakna menerusi saluran yang telah disediakan.

Dalam keadaan sekarang, katanya, apa yang diperlukan ialah perancangan rapi supaya sebarang tindakan yang dambil tidak mencemarkan maruah dan kesucian Islam, dan bukannya "membunuh diri" dengan tindakan melulu.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan malaysiakini mengenai kemungkinan pemuda negara ini akan turut berjihad di Iraq bagi mempertahankan negara itu itu daripada pencerobohan Amerika dan sekutunya.

Sebelum itu Hishammuddin mempengerusi mesyuarat exco Pemuda Umno di ibupejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, media melaporkan terdapat pihak-pihak di Indonesia yang telah membuka pendaftaran untuk mereka yang ingin berjuang menentang AS dan sekutunya di bumi Iraq.

Menurut Hishammuddin, adalah lebih wajar bagi pemuda di negara ini menggunakan saluran yang disediakan seperti menderma kepada tabung kemanusiaan, menjadi sukarelawan atau sekadar membantah peperangan.

Tindakan undang-undang

Dalam sidang akhbar yang sama, Hishammuddin mengumumkan pihaknya akan mengkaji sama ada terdapat asas untuk mengheret Presiden Amerika, George W Bush, dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, kemuka pengadilan antarabangsa kerana tindakan mereka menyerang Iraq adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Selain Amerika, yang menghantar hampir 280,000 tenteranya ke negara Iraq yang kedua terkaya dengan simpanan minyak, Britain turut menghantar 40,000 tentera manakala Australia 2,000 tentera.

Katanya, exco pemuda, Datuk Wan Ahmad Wan Salleh, telah ditugaskan untuk mengkaji kemungkinan sama ada wujud asas untuk mengambil tindakan undang-undang itu.

"Saya anggap tindakan Amerika adalah tindakan pentadbiran Bush dan kita bukannya berperang dengan rakyat AS atau Britain.

"Tetapi kalau tindakan mereka itu bercanggah dan mencabul undang-undang antarabangsa, maka tidak ada bezanya mereka dengan negara-negara lain.

"Oleh itu, kita tidak mahu wujudnya dwi-standard atau hipokrasi serta menjadi talam dua muka dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan isu sejagat," kata Hishammuddin yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Demonstrasi

Tambah beliau, adalah jelas tindakan Amerika dan sekutu-sekutunya itu tidak menghormati suara dunia, institusi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa yang mereka sendiri menyokong penggubalannnya.

"Tetapi apabila (undang-undang tersebut) tidak sesuai dengan agenda mereka, maka mereka membelakangkannya," jelas Hishammuddin lagi.

Menurut beliau, sekiranya pihaknya mempunyai asas untuk mengheret ketua negara-negara penceroboh itu ke mahkamah, ianya mungkin akan dilakukan atas nama Pemuda Umno atau Aman Malaysia sendiri.

Aman Malaysia merupakan satu gabungan antiperang yang disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang ditunjangi oleh Pemuda Umno.

Selain itu, Hishammuddin turut mengumumkan bahawa Aman Malaysia akan menganjurkan demonstrasi Sabtu ini bermula jam 2 petang di Padang Merbok.

Beliau menjemput semua pihak, termasuk penyokong parti pembangkang, untuk menyertai perarakan yang berakhir di Dataran Merdeka.

Pada hari yang sama, Gabungan Anti-Perang akan turut menganjurkan satu perhimpunan aman menentang peperangan bermula jam 2.30 petang di KLCC. Ini akan diikuti dengan satu perarakan besar kearah Kedutaan Amerika Syarikat.