Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini mengingatkan bahawa berjihad bagi membantu dan mempertahankan saudara Islam yang lain adalah wajib bagi mereka yang mampu melakukannya.

Dalam konteks pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas bumi Iraq, beliau berkata umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya mempertahankan negara itu serta memberi bantuan setakat yang mampu.

"Bagi umat Islam dari mana-mana negara sekalipun, adalah menjadi kewajipan bagi mempertahan agama mereka yang kini dihina dan diperkosa," beliau memberitahu malaysiakini .

"Sekiranya berupaya, kita boleh mengangkat senjata (bagi menentang tentera yang menceroboh bumi Iraq)," jelasnya.

Membantu tentera kafir

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa mereka yang tidak mampu berbuat demikian boleh membantu dengan cara yang lain seperti menderma wang ringgit atau bantuan dalam bentuk yang lain.

Beliau turut mengingatkan bahawa mereka yang tidak tahu mengguna senjata serta selok belok peperangan tidak wajar untuk berjuang di barisan hadapan dengan tentera musuh kerana ianya merupakan tindakan yang dianggap bodoh.

"Oleh itu, tidak ada sesiapa pun yang berhak menghalang mana-mana umat Islam yang berkebolehan untuk berjihad di barisan hadapan untuk meneruskan hasrat tersebut kerana ianya boleh dianggap sebagai membantu tentera kafir," jelasnya.

Serangan AS, Britain dan Australia ke atas Iraq kali ini adalah dianggap tidak sah kerana tidak mendapat persetujuan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejajar dengan itu, beliau menyangkal sama sekali alasan mana-mana pihak yang mengatakan bahawa tindakan berjihad di Iraq oleh mana-mana umat Islam adalah sebagai "mencemar" kesucian agama.

Semalam , ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menyifatkan tindakan seperti berjihad di Iraq bagi menentang pencerobohan AS dan sekutunya sebagai "terlalu drastik", serta menasihatkan pemuda di negara ini supaya mengambil tindakan yang lebih bermakna menerusi saluran yang telah disediakan.

Dikongkong pemikiran Barat

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, dalam keadaan sekarang, apa yang diperlukan ialah perancangan rapi supaya sebarang tindakan yang dambil tidak mencemarkan maruah dan kesucian Islam, dan bukannya "membunuh diri" dengan tindakan melulu.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan malaysiakini mengenai kemungkinan pemuda negara ini akan turut berjihad di Iraq bagi mempertahankan negara itu itu daripada pencerobohan kuasa-kuasa besar.

Sementara itu, ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, menganggap kenyataan Hishammuddin itu sebagai "dikongkong oleh pemikiran barat".

Adalah malang sekiranya mereka yang berkemampuan tidak dibenarkan mengangkat senjata bagi mempertahan Iraq setelah negara-negara Islam sendiri gagal mempertahankan sebuah negara Islam yang sedang diceroboh, katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah menahan beberapa orang rakyat negara ini yang pernah berjuang menentang pencerobohan Russia ke atas Afghanistan disekitar tahun 80an di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan kecenderungan mereka bagi menjatuhkan kerajaan dengan cara militan.