Ketua Pemuda MCA pusat, o­ng Tee Keat terus mendapat sokongan berikutan keputusan Pemuda MCA Pahang untuk turut membuat laporan polis esok di Ibu Pejabat Polis daerah Bentong (IPD) berhubung dakwaan wujudnya amalan kongsi gelap dan politik wang dalam MCA.

Bernama

memetik Ketua Pemuda MCA Pahang Liow Tiong Lai sebagai berkata, laporan itu akan dibuat oleh Ketua Pemuda MCA Bentong. Wong Chu Yak bersama jawatankuasa pemuda bahagian itu.

Liow yang juga ahli Parlimen Bentong berharap polis akan segera mengambil tindakan berhubung terhadap laporan yang dibuat oleh Pemuda MCA itu.

Pemuda MCA Pahang, katanya, menyokong penuh tindakan ketuanya, Datuk o­ng Tee Keat, dan meminta Majlis Presiden MCA bertindak segera dengan adil dan tanpa pilih kasih terhadap isu yang dibangkitkan oleh Pemuda MCA.

Sementara itu, o­ng, walaupun dalam keadaan tertekan pada masa ini, berkata beliau akan mempertahankan tindakannya mendedahkan amalan kongsi gelap dan politik wang dalam MCA.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin MCA dan 12 bahagian Pemuda MCA Pahang di dewan Sg Sempalit, Raub malam tadi, beliau mendakwa masalah itu semakin serius dan membimbangkan.

Amalan buruk

Ong berkata tindakan beliau mendedahkan perkara itu berniat baik bagi mengikis budaya kongsi gelap dan politik wang dalam MCA.

Menurutnya lagi, nama mereka yang terbabit dalam amalan buruk itu telahpun diserahkannya kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik sebagai bukti kewujudan budaya kongsi gelap dalam MCA.

Malah, kata o­ng, beliau juga menerima surat-surat dari ahli MCA berhubung amalan politik wang dan kongsi gelap termasuk buktinya, selain surat dari orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut.

Semua surat-surat itu, kata o­ng, akan disiasat.

Mengenai laporan polis oleh 12 bahagian pemuda MCA berhubung amalan kongsi gelap dan politik wang, beliau berkata, mereka berbuat demikian atas kehendak sendiri.

Ong menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian.