Usul bahas guru rasis ketiga ditolak
Dewan Rakyat hari ini menolak usul membahaskan kenyataan berbaur perkauman oleh guru penyelia peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Lukut, 24 November lalu.
Usul dikemukakan oleh Er Teck Hwa (DAP-Bakri) itu ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di kamarnya.
Katanya usul itu tidak diluluskan kerana ia tidak perlu disegerakan kerana kerajaan telah bertindak menghukum guru berkenaan.
Er pada sidang media selepas itu berkata, beliau dimaklumkan bahawa usul itu ditolak atas alasan Kementerian Pelajaran sudah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menangani isu itu.
Semalam, Er memfailkan usul itu menurut Peraturan Dewan 18(1). Katanya kejadian berlaku pada 24 November lalu apabila sekumpulan pelajar tiba lewat ke dewan peperiksaan.
Menurut Er, guru dari Port Dickson itu kemudian memarahi mereka dan menyuruh pelajar Cina supaya 'pulang ke China' manakala pelajar India pula disuruh 'pulang ke India' jika mereka tidak memahami peraturan.

