PAS: Tidak perlu takut bukan Islam dekati al-Quran
Pemimpin bukan Islam sepatutnya diberikan galakan supaya mereka berminat untuk membaca dan merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia, kata ketua penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab.
Dalam satu kenyataan media, Sofi berkata sejak akhir-akhir ini ramai di kalangan pemimpin bukan Islam berminat untuk merujuk al-Quran dan menggunakan terjemahan ayat-ayat suci dalam ucapan mereka.
Namun, katanya pemimpin Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam mula berjinak-jinak dengan al-Quran.
“Perangai buruk pemimpin Umno inilah sebenarnya yang menyebabkan orang bukan Islam terus menjauhi Islam dan memusuhi Islam kerana mereka dihalang dari mendekati Islam,” katanya.
Menurut Sofi, Umno menggunakan pelbagai alasan seperti takut salah tafsir, menghina al-Quran, mencemarkan kesucian al-Quran dan sebagainya untuk menghalang bukan Islam daripada mendekati agama itu.
“Saya pun tidak faham mengapa Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka,” katanya.
Baginya, jika orang bukan Islam melakukan kesalahan, mereka bukannya dihalang dari merujuk kepada al-Quran tetapi kesalahan itu perlu diperbetulkan.
Malangnya, katanya pemimpin Umno bukannya menggalakkan mereka mendekati al-Quran malah terus melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada golongan yang membaca terjemahan al-Quran.
“Sebagai seorang Islam kita sepatutnya gembira dan bersyukur apabila orang bukan Islam mula berjinak-jinak dengan Islam dan menjadikan al-Quran sebagai salah satu rujukan mereka.
“Apa yang penting kita membetulkan mereka jika berlaku kesilapan dan kesalahan,” katanya.
Menurut Sofi, tindakan jumud Umno itu menyaksikan sekutunya MCA dan MIC yang walaupun sudah berkawan dengan Umno lebih daripada 50 tahun tetapi sehingga kini tidak berminat dengan Islam kerana parti Melayu itu sendiri pun meminggirkan Islam.
Katanya, Umno mungkin terasa tercabar kerana orang bukan Islam merujuk al-Quran tetapi parti itu pula meminggirkan al-Quran ataupun Umno takut orang bukan Islam memahami ajaran Islam sebenar dan seterusnya menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, Sofi berkata ulama mesti memberi penerangan kepada seluruh rakyat tentang pengunaan ayat-ayat al-Quran oleh orang bukan Islam supaya semua orang Islam tahu bahawa bukanlah menjadi kesalahan untuk orang bukan Islam membaca dan merujuk terjemahan al-Quran dalam ucapan dan kehidupan seharian mereka.
Isu berkenaan tercetus semula apabila ADUN Hutan Melintang, Perak, S Kesavan pada Kongres PKR hujung minggu lalu, dilaporkan membacakan terjemahan al-Quran merujuk kepada ayat yang lain daripada apa yang sepatutnya.
Tafsiran salah boleh cetuskan sensitiviti
Sementara itu, Bernam a melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bimbang tindakan pemimpin parti politik bukan Islam mentafsir ayat suci al-Quran dengan tidak betul dan tepat akan menyentuh sensitiviti orang ramai terutama umat Islam.
Beliau berkata disebabkan tafsiran yang salah oleh pemimpin bukan Islam itu maka umat Islam akan bertelagah sesama sendiri.
Katanya tidak salah sekiranya orang bukan Islam berhasrat mempelajari kitab suci al-Quran tetapi tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya terutama di pentas politik kerana ia boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik.
"Sebenarnya saya mengharapkan kita jangan main politik banyak dalam konteks ini (menggunakan ayat suci al-Quran) walaupun ada orang kata bagus untuk nak mula belajar.
"(Kalau) belajar biar kena pada tempatnya tetapi kerana dia bercakap di khalayak ramai dengan pentafsiran yang tidak betul dan tepat maka orang ramai melihat ini sebagai penghinaan kepada agama Islam," katanya.
Menurutnya, pemimpin parti politik perlu berhati-hati ketika menggunakan ayat suci al-Quran dan jangan mengiyakan apa yang tidak betul walaupun sealiran dengan perjuangan politik mereka.
"Saya melihat, tidak kira (siapa) dan lain, soal teguran ini tidak boleh diabaikan kalau ada kesilapan.
"Kalau kita tidak tegur, bukan Islam akan kata tiada apa-apa. Kita kena sama-sama tegur...bukan untuk tujuan menghina tetapi membetulkan kesilapan yang berlaku di hadapan kita," katanya.

