Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengesahkan bahawa bekas Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N Tharmendran kini sihat dan diberikan layanan baik di Pusat Tahanan Kem Kentonmen, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya Suhakam Detta Samen berkata Tharmendran, 42, ketika ditemui secara peribadi mengakui beliau berada dalam keadaan baik dan berpuas hati dengan layanan pihak TUDM.

NONE "Tharmendran telah mengaku bahawa beliau tidak pernah dipukul dan bila diperiksa tiada sebarang kecederaan pada badannya," kata Detta kepada pemberita selepas menemui Tharmendran di pusat tahanan itu hari ini.

Sehubungan itu Detta menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa Tharmendran dipukul dan cedera ketika dalam tahanan.

Menurutnya lawatan Suhakam itu juga bertujuan menyiasat dakwaan itu sambil mendapatkan kepastian daripada Tharmendran sendiri.

"Kami membuat keputusan melawat untuk menyiasat dan telah meminta kebenaran daripada pihak TUDM untuk berjumpa Tharmendran bagi menyiasat perkara itu," katanya.

Pada 6 Jan lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan pencurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di kuala Lumpur.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

- Bernama