Kepimpinan baru Jabatan Imigresen diberi tempoh sebulan untuk menggariskan perancangan, pembaharuan dan penambahbaikan yang akan dilakukan terhadap jabatan itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cadangan itu harus dibentangkan kepada beliau pada Januari depan bagi membolehkan tindakan seterusnya.

    

"(Cadangan itu) seperti mengenai kebajikan mereka, perkembangan kerjaya, perumahan, elaun dan sebagainya mesti diselesaikan jika mereka benar-benar mahu menghapuskan rasuah.

    

"Hanya apabila mereka berpuas hati kebajikan mereka terjaga, maka baru dapat kita bina ketahanan diri terhadap rasuah," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Imigresen, di sini hari ini.

    

Hishammuddin berkata beliau bersama kepimpinan kementeriannya akan turun ke bawah bagi menggerakkan perubahan menyeluruh untuk jabatan tersebut bermula tahun depan.

    

Terdahulu, Hishammuddin dalam ucapannya berkata kerangka penambahbaikan itu juga harus meliputi usaha untuk menangkis persepsi negatif yang melanda jabatan tersebut.

    

"Kita wajar mengetengahkan pelbagai cerita kejayaan jabatan ini sebagai bukti bahawa ia bukan sahaja mempunyai tanggungjawab yang besar, malah mempunyai potensi yang jauh lebih besar untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada negara dan rakyat," katanya.

    

Katanya kerajaan juga kini berusaha melakukan penambahbaikan terhadap Jabatan Imigresen termasuk mewujudkan Gred KP48 dan KP44, sebagai tambahan kepada KP42, bagi memantapkan laluan kerjaya pada kalangan warga Imigresen.

    

Beliau berkata seramai dua orang dilantik sebagai Penguasa Imigresen Gred KP48 dan 19 dilantik Penguasa Imigresen Gred KP44 iaitu merupakan pertama kali dalam sejarah jabatan itu.

    

Seramai 19 lagi dinaikkan Penguasa Imigresen Gred KP42, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad dalam ucapannya berkata pengeluaran pasport Malaysia mencatatkan peningkatan saban tahun dan sehingga Oktober lepas sebanyak 1.52 juta telah dikeluarkan.

    

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 2.1 juta pada tahun depan, katanya.

Katanya peningkatan itu boleh diterjemahkan sebagai lambang kestabilan politik, pengukuhan ekonomi, sosial dan keselamatan negara ini yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

    

- Bernama