Hasil kajian jawatankuasa khas mengenai sistem pendidikan Islam dan isu sekolah agama rakyat (SAR) mesti diperkenankan terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja sebelum dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengerusi Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pejuang SAR tetap mahukan Majlis Raja-Raja membuat keputusan muktamad mengenai masa depan sekolah terbabit.

Menurutnya, hasrat tersebut telah dinyatakan di dalam sepucuk surat kepada Majlis Raja-Raja bagi menyampaikan ucapan terima kasih pihaknya terhadap dayausaha pihak istana membentangkan isu tersebut dalam mesyuarat ke-196 majlis tersebut bulan lalu.

"Kami telah menyatakan dalam surat itu bahawa apa-apa keputusan atau laporan perlulah dirujuk kembali kepada Majlis Raja-Raja kerana majlis tersebut masih belum membuat keputusan muktamad mengenai SAR.

"Kami juga mengharapkan agar pihak istana boleh memberi galakan kepada pihak kementerian supaya memberi ruang kepada kami untuk mengambil bahagian dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu SAR," katanya.

Menurut Mohd Azmi lagi, Gegar, yang dianggotai lebih 10 badan bukan kerajaan yang memperjuangkan SAR, akan memperinci perkara itu dalam satu mesyuarat di Alor Setar esok.

Kajian lanjut

Antara agenda mesyuarat tersebut ialah untuk menyediakan jawapan kepada kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed mengenai prestasi akademik SAR.

Mohd Azmi mendakwa laporan kementerian itu terlalu umum kerana ia tidak menjelaskan secara terperinci prestasi sekolah tersebut mengikut negeri masing-masing.

"Fakta dan perangkaan yang diberi terlalu menyeluruh dengan tujuan untuk memperkecilkan prestasi SAR, sedangkan menteri berkenaan sendiri mengakui ada sekolah agama rakyat yang prestasinya lebih bagus dari sekolah kebangsaan.

"Kalau benar begitu, pihak kementerian sepatutnya tidak mengambil langkah-langkah yang boleh menbunuh SAR, tetapi sebaliknya membuat kajian mengapa sekolah berkenaan boleh maju dan menggunakan hasil kajian tersebut untuk menolong sekolah yang lain," katanya.

Beliau juga menyatakan rasa risaunya berhubung tindakan kerajaan mengedarkan kenyataan Musa kepada umum.

"Tindakan itu tidak adil kerana ia akan hanya menyebabkan masyarakat umum membuat keputusan terlebih dahulu. sebelum mengetahui kedudukan sebenar keseluruhan isu terbabit yang masih lagi diperbincangkan oleh jawatankuasa khas.

Bermotif politik

"Walaupun pihak kementerian berhak mengedarkan kenyataan menteri tersebut, saya rasa tindakan itu bukan untuk memberi penerangan mengenai SAR, tetapi mahu membuktikan tindakan kerajaan selama ini adalah benar," dakwanya.

Beliau juga berharap isu SAR tidak akan lenyap begitu sahaja kerana nasib pendidikan Islam masih lagi terumbang-ambing.

Kontroversi berhubung isu SAR tercetus Oktober lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad megumumkan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.

Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan. Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu dibuat atas dasar politik Umno.

Sehingga 2002, katanya, terdapat 268 SAR, iaitu 43 sekolah rendah (8,078 pelajar dan 520 guru) dan 225 sekolah menengah (66,375 pelajar dan 3,909 guru).