Muhyiddin: Pakatan S'gor tak banyak sumbangan
Timbalan pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin
Pakatan Rakyat tidak banyak memberi sumbangan di Selangor tetapi
rakyat negeri itu melihat keadaan sebaliknya.
Bagi menghadapi keadaan itu, beliau berkata pemimpin BN negeri itu
perlu menterjemahkan usaha-usaha yang dijalankan parti itu ke peringkat bawah "supaya orang nampak ini adalah usaha kita (BN)."
"Sebenarnya sumbangan mereka bukan banyak tetapi kerana mereka pandai putar, spin , mereka nampak banyak membantu sedangkan itu adalah program kita," katanya ketika bercakap kepada pemimpin BN Selangor dalam satu majlis di Shah Alam petang ini.
Tambahnya, pemimpin berkenaan juga perlu menjelaskan pelan transformasi yang dianjurkan kerajaan kepada masyarakat setempat
sebagai satu langkah untuk mengembalikan sokongan para pengundi.
Bercakap kepada kira-kira 300 orang pemimpin BN negeri, Muhyiddin juga berkata trend terkini menunjukkan sokongan masyarakat telahpun kembali kepada BN.
"Tapi bolehkah trend ini kekal sehingga pilihan raya akan datang? soalnya dan menambah, BN perlu merampas kembali semua kerusi yang dimenangi Pakatan sebelum ini.
Dalam ucapan itu juga, Muhyiddin turut menyeru pemimpin berkenaan
untuk mendaftar lebih ramai pengundi yang bakal menentukan peluang parti berkenaan untuk merampas kembali pentadbiran negeri itu.
"Mereka (Pakatan) telah daftarkan lebih ramai pengundi daripada kita," katanya lagi dan menambah seramai empat juta pengundi muda akan masuk ke dalam "pasaran pengundi" menjelang pilihan raya umum akan datang.
Turut hadir di majlis itu ialah timbalan pengerusi perhubungan Umno
negeri Datuk Seri Noh Omar, pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim dan presiden PPP Datuk Dr M Kayveas.

