DVD haram: KDN kaji denda, penjara lebih tinggi
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji untuk mengenakan hukuman denda dan penjara yang lebih tinggi kepada penjual dan pengedar video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) yang melanggar Akta Penapisan Filem 2002.
Timbalan Menterinya Datuk Abu Seman Yusop berkata KDN menerusi Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) mendapati pada masa ini, hukuman maksimum denda RM50,000 dan penjara lima tahun atau kedua-duanya bagi pengedaran dan penjualan VCD serta DVD lucah tidak berpadanan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
"KDN dalam proses untuk menilai dan mengkaji akta yang sedia ada (Akta Penapisan Filem) supaya ia lebih berkesan dan sejajar dengan keadaan semasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pendidikan Pencegahan BKF di Kompleks KDN di Ayer Keroh di Melaka hari ini.
Program pendidikan itu bertujuan mendidik masyarakat tentang bahaya pengaruh negatif oleh filem cetak rompak atau filem yang belum diluluskan khususnya kepada generasi muda supaya tidak membeli filem haram di pasaran.
Beliau berkata pindaan akta yang dicadangkan itu akan memperuntukkan hukuman yang lebih berat dan berkesan sejajar dengan keadaan semasa.
"Ia kelak sebagai langkah pencegahan dan kawalan kepada pihak yang melakukan kesalahan undang-undang di bawah Akta Penapisan Filem," katanya.
Abu Seman berkata bagi tempoh 2005 hingga November tahun ini, BKF telah melaksanakan sejumlah 12,509 operasi dan merampas hampir 2.8 juta filem bentuk VCD dan DVD bernilai hampir RM22 juta dengan jumlah tangkapan seramai 3,326 orang.
"Jumlah hukuman denda dari Januari hingga November tahun ini kepada pesalah oleh Mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta ini berjumlah RM1.8 juta," katanya.
Beliau berkata fungsi BKF di bawah KDN ialah membuat penapisan filem dalam dan luar negara yang akan dipertontonkan kepada masyarakat, memantau penjualan VCD/DVD yang tidak mempunyai tanda kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan membuat tangkapan bagi penjual dan pengedar VCD/DVD.
Sempena majlis itu juga, sebanyak 700,000 unit VCD dan DVD bernilai RM5.5 juta dimusnahkan.
- Bernama

