Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: K'jaan sedia timbang permintaan Kimma
Diterbitkan:  Dec 12, 2010 3:19 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Kerajaan bersedia untuk menimbang beberapa permintaan yang diutarakan oleh Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) termasuk menambah 25,000 pekerja asing khususnya dari India untuk bekerja di restoran India Muslim yang kebanyakannya beroperasi selama 24 jam.

    

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana beliau difahamkan tidak ramai pekerja tempatan yang sanggup bekerja selama 12 jam di kira-kira 12,000 restoran India Muslim di seluruh negara.

    

"Pengusaha restoran tidak mempunyai jumlah pekerja yang cukup untuk menentukan supaya perjalanan perniagaan mereka dapat berjalan dengan baik dan memberi keuntungan kepada pengusaha-pengusahanya.

    

"Saya percaya perkara ini dapat kita selesaikan dalam tempoh seberapa singkat yang akan datang," katanya berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Kimma kali ke-34 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

    

Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Kimma Datuk Syed Ibrahim Kader.

    

Selain soal pekerja asing, Muhyiddin turut bersedia untuk membantu Yayasan Pengajian India Muslim sebagai satu inisiatif untuk meletakkan masyarakat India Muslim ke peringkat yang lebih tinggi.

    

"Saya sedia untuk membantu yayasan dan saya yakin apa saja sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan pastinya ia dapat membantu sebahagian anak-anak dari Kimma dan lain-lain untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam pelajaran," katanya.

    

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata segala usaha yang sudahpun dimulakan oleh kerajaan untuk membantu sebahagian besar rakyat sama ada golongan Bumiputera atau tidak, anggota-anggota Kimma juga layak dan berhak untuk mendapat bantuan tersebut.

    

Beliau turut menyarankan kepada parti gabungan Umno itu untuk mengemukakan satu pelan yang lebih terperinci tentang bagaimana untuk membantu masyarakat India Muslim yang terlibat dalam perniagaan kecil dan berhadapan dengan masalah kesukaran mendapatkan dana dan bantuan sama ada dari pihak kerajaan mahupun swasta.

    

"Saya harap ia boleh dikemukakan supaya kita dapat mengambil satu langkah berkesan untuk selesaikan masalah ekonomi ataupun pembiayaan perniagaan oleh masyarakat India Muslim di negara kita ini," katanya.

    

Mengenai permintaan parti itu supaya ada wakil Kimma dalam kerajaan, Muhyiddin berkata perkara itu akan diberikan pertimbangan yang saksama oleh kerajaan.

Beliau juga menyarankan supaya kepimpinan Kimma dan seluruh anggotanya berganding bahu bersama-sama pimpinan Barisan Nasional (BN) berusaha bersungguh-sungguh agar proses transformasi yang sedang dilakukan kerajaan dapat disempurnakan sebaik mungkin.

    

"Selain itu, saya juga ingin mengajak saudara-saudari bersama dengan pimpinan BN berusaha dengan secara bersungguh-sungguh untuk memperkukuhkan asas-asas perjuangan kita dan penting juga untuk kita kukuhkan kerjasama dan perpaduan sesama kita," katanya.

    

Beliau berkata peranan Kimma pada masa ini menjadi lebih penting kerana negara tidak mahu masih ada rakyat walaupun dari golongan minoriti merasa terpinggir.

    

"Kita tidak mahu ada tanggapan-tanggapan bahawa BN masih lagi belum bangkit daripada menghadapi tamparan hebat pilihan raya umum 2008, kita tidak mahu mendengar lagi ada pihak mengatakan bahawa kita masih tidak bersedia untuk turun ke bawah menyelesaikan masalah mereka dan bertindak dengan cepat untuk mengatasi kelemahan kita," katanya.

- Bernama

ADS