Enam anggota polis, termasuk beberapa pegawai, didapati bersalah melanggar prosedur semasa serbuan dilakukan terhadap 186 rakyat India di sini pada 9 Mac lalu.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai berkata, tindakan disiplin akan diambil terhadap enam anggota terbabit.

Katanya, anggota terbabit dari Balai Polis Daerah Brickfields di sini, didapati telah melanggar peraturan selepas siasatan dijalankan oleh lembaga disiplin khas yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu.

"Ahli lembaga itu dijangka mengemukakan cadangan berbentuk tindakan disiplin terhadap anggota polis berkenaan," katanya.

Menurut laporan Bernama , Norian bagaimanapun, enggan memberitahu pangkat anggota terbabit tetapi menjelaskan mereka termasuk beberapa pegawai kanan.

"Dengan tindakan terhadap anggota kami ini, kami harap isu ini akan berakhir," katanya selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Polis Singapura, Khoo Boon Hui dan Pesuruhjaya Tinggi republik itu, Ashok Kumar Mirpuri, di Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai bentuk tindakan yang akan diambil, Norian berkata, lembaga itu sedang mengkaji kes itu secara berasingan mengikut salah laku masing-masing semasa kejadian itu.

"Selain tindakan disiplin, anggota polis itu juga mungkin dikenakan perintah bertukar ke daerah atau jabatan lain," katanya.

Dalam serbuan tersebut, polis memberkas 196 orang, termasuk 186 rakyat India yang kebanyakan profesional IT, dan selainnya rakyat Pakistan dan Burma di empat blok pangsapuri Palm Court di Sultan Abdul Samad, Brickfields.

Pesuruhjaya India ke Malaysia, Veena Sikri, telah membuat bantahan diplomatik kepada Wisma Putra dengan mendakwa polis mengkasari mereka serta merosakkan pasport mereka.

Berikutan bantahan itu, Pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Norian menyiasat insiden itu dengan segera.