Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, diminta menarik balik kenyataannya yang mendakwa surau Jubli Perak di Bandar Baru Bangi telah diresapi unsur-unsur militan parti politik tertentu bagi menyebarkan fitnah dan tohmahan.

Bekas imam surau Jubli Perak, Nasron Duki, berkata peguam yang mewakili jawatankuasa surau itu, telahpun menghantar surat kepada Mohamad Khir dan pengarang akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan kenyataan itu, supaya menarik balik kenyataan tersebut.

Kenyataan Mohd Khir itu, yang dibuat atas kapasitinya sebagai ketua biro agama Pemuda Umno Malaysia, disiarkan di ruangan forum akhbar berkenaan pada 21 Feb lalu.

Dalam kenyataannya itu, Mohd Khir mendakwa "mimbar khutbah surau berkenaan telah menjadi alat untuk menyebarkan pembohongan, fitnah, maki-hamun dan propaganda militan".

Beliau turut mendakwa, khatib surau berkenaan enggan membaca teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), serta "menolak arahan bagi membacakan doa untuk Sultan Selangor".

Nasron, yang tauliahnya telah dibatalkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais), berkata, surat peguam itu yang bertarikh 27 Mac lalu, telah dihantar kepada Mohd Khir dan pengarang akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lalu.

"Sekiranya mereka gagal menarik balik kenyataan tersebut, peguam akan mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada malaysiakini .

Fatwa mufti

Nasron berkata dakwaan menteri besar itu adalah tidak berasas sama sekali dan jelas berunsur fitnah.

"Terpulanglah sama ada beliau hendak menarik balik kenyataan itu atau membuktikan kebenaran dakwaannya di mahkamah," katanya lagi.

Nasron (tengah) yang dua kali ditahan oleh Jais berhubung isu merobohkan surau tersebut, berkata pihaknya juga telah meminta Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, supaya mengeluarkan fatwa berhubung hukum mengerjakan solat Jumaat tanpa kebenaran Mais.

Katanya, fatwa tersebut perlu bagi tujuan pembelaan di mahkamah ekoran beberapa ahli jemaah, bakal dibawa ke pengadilan kerana mengerjakan solat Jumaat di surau yang telah ditarik tauliahnya itu.

Bagaimanapun, mufti Selangor tersebut dikatakan enggan membuat sebarang fatwa mengenai perkara tersebut sepertimana yang diminta oleh peguam yang mewakili beberapa tertuduh yang ditahan oleh Jais.

Dalam suratnya yang ditandatangi beliau bertarikh 2 April, Mohd Tamyes sebaliknya menjelaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sebagai pemilik berdaftar bangunan tersebut, "berhak menentukan apa-apa kegiatan yang hendak dibuat di ruang tersebut kerana miliknya".

Mufti turut mempertahankan pembinaan Tadika Kemas di atas tapak surau tersebut atas alasan "memberi pendidikan yang merupakan perintah wajib dalam Islam (dan) bukan aktiviti yang mencemarkan".

Surau baru

Dalam ulasannya, Mohd Tamyes turut berkata, tindakan Jais tidak boleh dianggap sebagai satu pencerobohan tetapi sekadar melaksanakan peraturan yang diputuskan oleh Mais.

"Sepertimana kita patut berterima kasih, kerana Mais telah memberi kebenaran sementara untuk solat Jumaat, maka sepatutnya kita patuh apabila Mais menarik balik kebenaran sementara itu dan mengajak masyarakat setempat supaya menunaikan sembahyang Jumaat bersama-sama di masjid baru," katanya.

Bagaimanapun, kariah surau tersebut, yang rata-rata terdiri daripada 7,000 penduduk Pangsapuri Jubli Perak dan penduduk sekitar, mendakwa tindakan merobohkan surau tersebut sebagai keterlaluan dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Surau tersebut, yang mampu menampung 2,000 jemaah telah ditauliahkan oleh Sultan Selangor bagi digunakan untuk solat Jumaat sejak 1995 lagi.

Penduduk mendakwa tekanan politik Umno yang mengatakan surau tersebut sebagai "kubu kuat PAS" merupakan alasan sebenar rumah ibadat dirobohkan.

Sebagai ganti, Mais telah membenarkan surau Al Kausar yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ digunakan untuk solat Jumaat yang jelas bertentangan dengan alasan awal yang mahukan penduduk mengerjakan solat di Masjid Al Hasanah yang terletak lima kilometer jauhnya.

Tinjauan malaysiakini turut mendapati kerja-kerja pembinaan surau kekal di kawasan pangsapuri Jubli Perak telah dimulakan, manakala pembinaan Tadika Kemas di tapak surau yang dirobohkan turut berjalan lancar.