Seorang pensyarah rekabentuk grafik dari sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur berpendapat memang terdapat pengubahsuaian gambar dengan teknik pertindihan foto (superimposed) pada gambar tersebut.

"Perbezaan ketara wujud di antara khalayak orang ramai di depan [bersama Perdana Menteri] dan kumpulan orang ramai di belakang. Seolah-olah terdapat dua keratan gambar yang dicantum dan perbezaan itu nampak jelas," ulasnya yang tidak mahu dikenali.

Dikaji dari sudut cahaya, foto yang disiarkan Berita Minggu itu menunjukkan keganjilan pertukaran warna yang mendadak. Di bahagian depan, cahayanya agak pudar dan lembut tetapi kumpulan orang ramai di bahagian belakang, cahayanya agak terang. Begitu juga saiz khalayak yang besar di bahagian depan, tiba-tiba mengecil di bahagian belakang tanpa perubahan saiz yang munasabah, terang pensyarah itu lagi.

Pandangan pensyarah ini turut disokong oleh seorang artis rekabentuk majalah dan akhbar di sebuah syarikat akhbar harian utama. "Pertindihan foto seumpama itu boleh dibuat tidak sampai lima minit, bukannya sukar." Beliau berpendapat kerja-kerja pertindihan itu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

"Apa pun hujahnya, gambar itu kelihatan janggal walaupun oleh mata kasar pembaca. Ia tidak memerlukan seorang pakar untuk menilainya."