Isu penutupan Surau Jubli Perak di Bandar Baru Bangi terus berlarutan berikutan usaha-usaha pihak yang dikatakan ditunjangi Umno, untuk mengambil alih pentadbiran pasar malam di kawasan itu.

Pada masa ini, ia dikendalikan oleh ahli jawatankuasa Surau Jubli Perak, termasuk membuat kutipan dari para peniaga untuk membiayai kerja-kerja pembersihan kawasan terbabit.

Menurut satu sumber, tindakan merobohkan surau itu baru-baru ini telah dijadikan alasan oleh pihak berkenaan untuk mengambil-alih pentadbiran pasar malam itu atas alasan "surau tidak lagi beroperasi".

Katanya lagi, seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah memaklumkan perkara ini secara lisan kepada jawatankuasa berkenaan, yang masih beroperasi walaupun telah menerima perintah penutupan surau itu daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) awal Feb lalu.

Surau yang terletak ditingkat bawah Blok 4, pangsapuri Jubli Perak itu turut dirobohkan pada 10 Feb lalu dalam operasi bersepadu yang dikepalai oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan beberapa agensi kerajaan yang lain, termasuk polis.

Sumber tersebut memberitahu malaysiakini bahawa pentadbiran pasar malam yang diadakan setiap Rabu dan Jumaat itu akan diuruskan oleh Persatuan Penduduk Pangsapuri Jubli Perak dan Belia 4B kawasan berkenaan.

Kutipan RM100,000

Persatuan penduduk tersebut yang kini masih dalam peringkat penajaan, telah ditubuhkan selepas Mais menarik balik tauliah untuk mengguna surau tersebut sebagai tempat beribadat.

Sebelum ini, 7,000 penduduk pangsapuri tersebut disatukan di bawah pentadbiran jawatankuasa surau terbabit bagi mewakili hal-hal kebajikan mereka.

Manakala Belia 4B pula bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Selama ini, jawatankuasa surau telah diberi kebenaran oleh MPKj untuk mengendalikan pasar malam tersebut sejak 10 tahun lalu di mana wang kutipannya disimpan sebagai dana bagi mendirikan sebuah surau tetap," sumber itu menjelaskan.

Beliau turut menjelaskan bahawa akaun hasil kutipan dari pentadbiran pasar malam itu - yang kini mencecah lebih RM100,000 - diuruskan dengan telus dan sempurna.

Bagaimanapun, terdapat desas-desus yang mendakwa kutipan di pasar malam itu digunakan untuk aktiviti parti PAS kerana surau Jubli Perak disifatkan oleh Mohd Khir sebagai "kubu kuat" parti itu.

Tadika Kemas

Apa yang mengejutkan penduduk pangsapuri berkenaan ialah tindakan pihak berkuasa yang secara tiba-tiba sahaja, membina sebuah surau tetap di tapak yang dikhaskan tanpa mendapatkan sebarang maklumbalas dari jawatankuasa surau sedia ada.

"Malah, mereka juga tidak pernah bertanya mengenai wang yang telah dikumpulkan untuk pembinaan surau tersebut," sumber itu menjelaskan.

Isu surau Jubli Perak tercetus ekoran tindakan Mais merobohkannya atas alasan ianya "surau sementara" dan pihak berkuasa agama mahukan penduduk disitu bersolat di masjid Al Hasanah ( gambar ) yang terletak lima kilometer dari situ.

Bagaimanapun, Jais kemudiannya membenarkan penduduk terbabit mengerjakan solat Jumaat di surau Al Kausar yang terletak satu kilometer dari pangsapuri itu. Tapak surau Jubli Perak akan diambil alih oleh tadika Kemas.

Ekoran kejadian itu, beberapa ahli jemaah, seorang imam dan seorang peguam ditahan oleh Jais dan akan didakwa di mahkamah selepas mereka cuba mengerjakan solat di surau itu.