Akhbar rasmi parti PAS, Harakah , enggan memohon maaf berhubung isu foto "dua orang Mahathir". Akhbar tabloid itu dalam edisi bertarikh 6 Disember mendakwa sekeping foto yang disiarkan dalam Berita Minggu 28 November telah diubah. Semalam, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang membekalkan foto berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Harakah . Lihat [#1] gambar [/#]

Foto berkenaan menunjukkan Perdana Menteri dikelilingi oleh orang ramai dalam satu majlis yang mendapat sambutan baik di Kangar, Perlis menjelang hari mengundi, 29 November. Tetapi tabloid PAS mempertikaikan sambutan orang ramai tersebut, malah menuduh akhbar mingguan itu mengubah foto asal supaya kelihatan orang ramai menyambut Dr Mahathir.

Abd Rahman Koya, Editor 'English Section' Harakah , yang menyiarkan komen tentang gambar tersebut enggan meminta maaf kepada pihak-pihak berkenaan. Sebaliknya beliau akan membuat penjelasan sekali lagi kepada para pembaca tabloid itu. "Apa yang dipersoalkan adalah fokus seolah-olah terdapat dua majlis yang berbeza."

Berita Minggu dan New Straits Times dalam penafiannya menyiarkan sekeping foto dekat menunjukkan individu di bahagian belakang bukan Dr Mahathir seperti didakwa Harakah .

"Siapa sebenarnya individu yang membelakangi Dr. Mahathir dalam gambar tersebut?" jelas Rahman kepada malaysiakini .

"Saya telah meminta pendapat daripada pakar teknikal kami dan juga pendapat individu yang arif. Mereka memberi komen bahawa gambar itu telah diubahsuai untuk menampakkan sambutan yang cukup meriah semasa Perdana Menteri menghadiri majlis berkenaan."

Pihak Bernama tidak teliti semasa proses penyuntingan gambar dilakukan. Gambar tersebut nampak janggal dan pembaca sendiri boleh menilai kebenaran gambar tersebut, dakwanya lagi. Lihat [#2] Foto itu diubahsuai: pakar [/#]

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini , Encik Mansor Bahrom, jurufoto Bernama, bagi gambar tersebut menjelaskan gambar keseluruhan adalah tulen dan tidak dibuat apa-apa perubahan.

"Gambar tersebut saya ambil dari sudut tinggi. Sebab itu, nampak dua tokoh berbeza. Dr Mahathir di depan dan seorang lagi yang tidak dikenali sedang berjabat tangan bersama rakyat."

Mansor menyatakan foto itu diambil bersempena "Majlis Pemimpin Bersama Rakyat" yang diadakan di padang Dewan Bandaran Kangar pada petang Sabtu, 27 November lalu. Proses menyalin foto (scanning) dan mengirimnya ke ibupejabat Bernama di Kuala Lumpur dibuat secara ' wire transmission ' (kaedah penghantaran melalui litar telefon) mengambil masa tidak sampai lima minit, katanya lagi.

"Ini jelas menunjukkan tidak ada sebarang ruang waktu bagi melakukan sebarang pengubahsuaian seperti yang dituduh oleh Harakah ." [#3] Tiada otak, ulas Berita Minggu [/#]