Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Zamri Ibrahim, yang terbabit dalam satu pergaduhan di majlis anjuran Umno di Kota Bharu kelmarin, mempertahankan bahawa beliau bukan ahli parti PAS seperti yang didakwa.

Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, Zamri menegaskan beliau tidak pernah menyertai PAS atau menghadiri sebarang ceramah pemimpin parti pembangkang itu walaupun sudah lama bertugas di Kelantan dan Terengganu.

"Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak pernah sekalipun menjejaki pejabat PAS di Kota Baru ini.

"Malahan, walaupun sembilan tahun bertugas di Terengganu dan tinggal berhampiran dengan Masjid Rusila (di Marang), saya tidak pernah sesekali ke sana untuk mendengar ceramah," katanya.

Masjid Rusila merupakan sebuah masjid pemangku Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang juga menjadi pusat ceramah parti.

Pembesar suara

Pengarah bomba itu dikatakan telah dipukul berkali-kali oleh penyokong Umno yang mendakwa beliau bersekongkol dengan PAS dan menentang dasar-dasar kerajaan persekutuan walaupun terikat dengan Akujanji.

Menurut laporan akhbar, Zamri, yang berada di pejabatnya meluru masuk ke dalam sebuah kedai kopi berhampiran, untuk bersemuka dengan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Zaid Ibrahim, yang berada di situ.

Dianggarkan 200 ahli Umno hadir di majlis untuk menyampaikan memorandum kepada Zaid bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan tindakan Zamri menjemput penceramah PAS untuk berceramah mengenai isu sekolah agama rakyat (SAR) di surau jabatan itu pada 17 dan 22 Feb lalu. Kandungan memorandum itu turut dibaca melalui pembesar suara.

Pergaduhan tercetus apabila Zamri dikatakan menyindir Zaid, dengan berkata, "tahniahlah, jaga kamu!" yang turut dianggap sebagai satu ancaman terhadap Zaid.

Selain menafikan penglibatan beliau dengan PAS, pengarah bomba negeri itu enggan mengulas lanjut.

Ditanya apakah tuduhan ke atas beliau itu berasas, Zamri berkata: "Segala-galanya berpunca dari krisis dalaman (jabatan bomba)".

"Mereka yang membuat tuduhan itu tidak pula mahu menyiasat kebenarannya terlebih dahulu," katanya tetapi enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar kejadian.

Perhimpunan haram

"Saya juga tidak mahu memanjangkan perkara ini kerana ianya berada dalam siasatan polis," tambahnya.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis.

Selain itu, Zamri turut mendakwa pemimpin Umno itu turut menganjurkan perhimpunan haram kerana tidak mendapatkan permit polis.

Utusan Malaysia

hari ini memetik Zaid yang ditemui pemberita selepas kejadian itu sebagai berkata tindakan Zamri itu "sebagai berunsur ancaman dan menggugat keselamatannya".

Bagaimanapun, cubaan malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari Zaid tidak berhasil kerana sedang menghadiri mesyuarat.