Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kawalan sepadu perairan Sabah dipertingkat
Diterbitkan:  Dec 23, 2010 12:11 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Polis akan mengambil tindakan secara bersepadu bagi memantapkan kawalan keselamatan di perairan Sabah bagi memastikan kes penculikan dua rakyat Malaysia di Semporna pada Februari lepas, tidak berulang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Khalid Abu Bakar berkata tindakan secara bersepadu itu melibatkan semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia dan juga kerjasama polis dari negara jiran.

Katanya latihan bersepadu membabitkan jabatan dalam PDRM di Sabah akan diadakan bagi memasikan mereka bersedia menghadapi ancaman dan cabaran di perairan negeri terutama berhampiran sempadan negara jiran.

"Kita juga akan meningkatkan keupayaan mengumpul risikan di semua jabatan dalam PDRM di negeri ini bagi menghalang anasir jahat masuk ke perairan negara untuk melakukan jenayah," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Polis Gerakan Marin Sandakan di Sandakan hari ini.

Khalid berkata bahawa pada tahun depan, tujuh pondok polis di pesisir pantai di perairan Sabah akan dinaik taraf ke Balai Polis Pantai bagi meningkatkan peranan dalam menerima laporan daripada masyarakat dan menjalankan siasatan.

Tujuh Balai Polis Pantai itu masing-masing terletak di Labuan,  Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Mengenai pembebasan dua rakyat Malaysia semalam selepas diculik oleh kumpulan tidak dikenali di Selatan Filipina pada Februari lepas, Khalid berkata PDRM mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dengan usaha pembebasan itu.

"Kita gembira dengan berita pembebasan dua rakyat Malaysia itu setelah mereka diculik begitu lama," katanya.

Tsen Vui Chung, 41, dan Lai Wing Chau, 33, dipercayai telah diselamatkan oleh pegawai keselamatan Filipina pada 6 pagi semalam di satu lokasi yang tidak dinyatakan di Pulau Tawi-Tawi di bahagian selatan Filipina.

Mereka dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bersenjatakan rifel di Pulau Sebangkat, Semporna.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS