BERITA

Umno yakin kaum India kuatkan BN Kedah

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Dis 2010, 7:27 pagi

Sokongan daripada masyarakat India amat diperlukan bagi menguatkan jentera Barisan BN bagi memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang.   

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata masyarakat India di negeri itu mulai sedar akan kesilapan mereka pada pilihan raya umum lepas dan kini kembali menyokong BN.

"Saya yakin masyarakat India di negeri ini telah menunjukkan sokongan padu kepada kepimpinan BN dalam usaha untuk merampas kembali Kedah daripada kepimpinan parti pakatan," katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan bersama kepimpinan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), yang diketuai Pengerusi IPF Kedah, K Velauthan di Pejabat Umno di Alor Setar hari ini.

Pertemuan itu sebagai tanda sokongan IPF terhadap pelantikan Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang baru.

Ahmad Bashah yakin ia satu petanda baik bagi kesemua parti komponen BN Kedah dan ketiga-tiga parti komponen India berganding bahu untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada BN.

Velauthan berkata IPF sentiasa memberi sokongan padu kepada Ahmad Bashah dalam usaha mengatur strategi baru bagi merampas kembali Kedah daripada parti pakatan pada pilihan raya umum kelak.

"IPF akan bekerjasama dengan Umno dan akan bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan BN menang pada pilihan raya umum nanti," katanya.

--Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.