Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Bekalan air Pulau Pinang cukup hingga 2020

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yakin  dapat menampung keperluan air terawat untuk seluruh Pulau Pinang sehingga 2020 menerusi penaiktarafan Loji Rawatan Air Sungai Dua.

Pengurus Besarnya Jaseni Maidinsa berkata hari ini pihaknya melaksanakan kerja-kerja akhir untuk membolehkan penggunaan sistem pengepaman turus tinggi yang akan meningkatkan keupayaan membekalkan air sehingga sembilan peratus.

"Kapasiti pam  turus tinggi ini akan meningkat sebanyak 80 peratus iaitu dari 1,091 juta liter sehari (JLH)  ke 1,963 JLH," katanya kepada pemberita, di Butterworh hari ini.

Pada masa yang sama katanya, PBAPP akan menambah kapasiti tangki air terawat dari 13.6  JLH ke 39.1 JLH yang akan meningkatkan kemampuannya merawat air sebanyak sembilan peratus.

Kapasiti merawat air itu dijangka meningkat sebanyak 12. 9 peratus lagi apabila projek menaik taraf loji tersebut siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan, kata beliau.

"PBAPP faham bahawa kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air, walau bagaimanapun ia amat penting untuk memastikan bekalan air bersih yang

berterusan  memandangkan penggunaan yang kian meningkat," katanya.

Beliau kemudian mengetuai kumpulan media melawat kawasan loji rawatan air itu. Lawatan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng.

--Bernama