Aman Malaysia disarankan supaya melupakan hasratnya untuk berkerjasama dengan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Israel yang dikenali sebagai Peace Now bagi mengelak daripada tercemarnya imej keamanan yang diterajuinya.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob, berkata adalah tidak munasabah bagi Aman Malaysia yang diterajui oleh Pemuda Umno untuk mengadakan kerjasama seumpama itu dengan sebuah pertubuhan dari Israel, kerana negara tersebut merupakan sebuah negara haram yang bertunjangkan prinsip Zionisme.

Menurut laman web Peace Now , pertubuhan itu, diwujudkan oleh 348 tentera simpanan Israel pada 1978, percaya hanya perbincangan akan mengakhiri konflik di Timur Tengah yang akan membawa keamanan kepada rakyat Israel.

"Peace Now tidak ada kena mengena dengan keamanan kepada rakyat Palestin seperti yang didakwa oleh penyelaras Aman Malaysia, Zulkifli Alwi, bahawa perjuangan NGO itu menjurus kepada keadilan rakyat Palestin," kata Salahuddin ( gambar ) ketika dihubungi malaysiakin i hari ini.

"Sebenarnya, tidak pernah ada istilah keamanan yang terpakai oleh rakyat Israel selagi mereka terus menganiya dan menafikan hak rakyat Palestin melalui keganasan," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan Aman Malaysia yang dikatakan cuba mencari pengaruh dengan bekerjasama dengan pertubuhan keamanan negara-negara luar sehingga mahu menjalin kerjasama dengan NGO Israel itu.

Tangguh

Salahuddin dan Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, pernah dipenjarakan selama enam bulan kerana terlibat dalam satu demonstrasi menentang kehadiran pasukan kriket dari Israel pada tahun 1997.

Mengimbas kembali peristiwa itu, beliau berkata, pasukan Israel itu dijemput oleh pemimpin negara ini bagi menyaksikan keamanan di sebuah negara majmuk yang majoritinya Islam, tetapi kepulangan mereka ke Israel tidak mengubah pendirian rakyat negara itu.

Sementara itu, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Azam Abdul Rahman pula menyifatkan tindakan Aman Malaysia itu boleh menimbulkan polemik yang berpanjangan dan menjejaskan perjuangan pergerakan itu sendiri.

"Adalah lebih wajar sekiranya Aman Malaysia menangguhkan dahulu hasratnya untuk bekerjasama dengan NGO Israel itu, walaupun pada prinsipnya ia bukanlah suatu masalah," katanya kepada malaysiakini .

Katanya, dalam konteks negara Malaysia, Israel tetap dianggap sebagai pengganas walaupun isu menentang keganasan di Palestin dan Iraq melepasi jurang perbezaan agama dan bangsa.

"Untuk sementara ini, apabila kita membincangkan soal Israel, kita tidak boleh lari dari mengaitkannya sebagai sebuah negara haram," tambah Ahmad Azam.

Strategi

Ditanya sama ada Abim akan terus memberikan kerjasama kepada Aman Malaysia sekiranya hasrat itu diteruskan, beliau berkata pertubuhannya akan terlebih dahulu mengkaji mengenai perkembangan tersebut.

Dalam menjustifikasikan hasrat Aman Malaysia tersebut, Zulkifli memberitahu Utusan Malaysia awal bulan ini: "Untuk perjuangan Palestin dan rakyat Iraq, kita perlu bijaksana dalam menyusun strategi. Kalau kita hanya berharap kepada masyarakat Arab atau negara Islam yang lain, ia agar sukar untuk berjaya".

Bagaimanapun, exco Pemuda Umno itu tidak menolak kemungkinan bahawa kerjasama seperti itu dianggap radikal oleh sesetengah pihak.

Pendirian Zulkifli turut disokong oleh Penaung Aman Malaysia yang juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein, dengan menyifatkan usahanya mengadakan kerjasama dengan Peace Now sebagai langkah strategik untuk menjayakan misi keamanan di seluruh dunia.

Zulkifli tidak dapat dihubungi untuk penjelasan lanjut mengenai kerjasama tersebut.